AGES BANTU PERTINGKAT POTENSI PEMBELAJARAN MURID
PULAU PINANG, 10 Feb.2014 – Advance Guidance Education System (AGES), satu program kecemerlangan akademik dan kepimpinan yang diperkenalkan Universiti Sains Malaysia (USM) dilihat sebagai kaedah yang berupaya mengoptimumkan pencapaian pembelajaran murid-murid.
AGES atau dalam istilah bahasa Melayunya Sistem Bimbingan Pendidikan Canggih adalah antara program yang sangat berjaya dan begitu lama bertahan yang dikawal selia oleh Unit Penyelidikan Pendidikan Asas (UPPA), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, program berkenaan sangat relevan dengan pembangunan pendidikan pada hari ini kerana ia berupaya meningkatkan motivasi dan keinginan pelajar untuk berjaya ke tahap tertinggi.
Katanya, ia turut berpotensi untuk mendidik para pelajar mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari untuk persediaan masa depan yang lebih baik serta membantu mereka mengulangkaji dengan cara yang lebih sistematik.
``Selain itu, AGES turut memberi pendedahan awal kepada bakal guru bagaimana cara untuk mengaplikasikan pedagogi yang dipelajari serta memberi peluang kepada mereka mencurah bakti dan ilmu pengetahuan sebelum keluar dari menara ilmu,’’ ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran AGES yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Dato’ Seri Nor Mohamed Yakcop.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Dato' Seri Mohd Yussof Latiff.
Omar turut berkata, AGES juga amat efektif dan berkesan kerana ia telah direka dan distrukturkan secara komprehensif dan menyeluruh meliputi bimbingan akademik, program kepimpinan, sahsiah dan jati diri.
Tambah beliau, pengisian program juga turut meliputi aspek mencabar minda melalui pelbagai aktiviti yang dibangunkan melalui projek-projek inovasi penyelidikan yang dijalankan di USM.
Mengulas penglibatan Pemenang dalam AGES, beliau berkata, "Program ini adalah antara inisiatif USM di bawah program khidmat sosial dan PEMENANG turut memberikan kerjasama penuh dalam membantu dari aspek sokongan sosial, kewangan serta penambahbaikan program.
"Program ini sentiasa dibantu oleh penggerak profesional dalam kepakaran masing-masing dalam usaha memastikan kelancaran program dan keberkesanannya kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan.’’
Tambah beliau, penglibatan tersebut juga adalah sebahagian dari usaha PEMENANG untuk menambahkan bilangan profesional Melayu dengan sasaran seorang dalam tiap keluarga yang terdapat di negeri Pulau Pinang. - Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1172