PKD KOMITED KEMBALIKAN PENGIKTIRAFAN WADA
PULAU PINANG, 7 Februari 2014 – Pusat Kawalan Doping (PKD) Universiti Sains Malaysia (USM) komited untuk mendapatkan semula akreditasi dari Agensi Anti Doping Dunia (WADA) selewat-lewatnya pada penghujung 2014 bagi membolehkan pusat tersebut diiktiraf bermula 2015.
Pengarah PKD, Profesor Dato' Dr. Mohamed Isa Abdul Majid yang baru di lantik bermula 1 Januari 2014 berkata, sehingga kini usaha ke arah mengembalikan kegemilangan PKD sebagai satu-satunya pusat anti doping di negara ini sedang giat dijalankan dan segala perancangan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Katanya, PKD hanya perlu memenuhi dua kriteria sahaja lagi untuk mendapat pengiktirafan WADA sebagai di antara 33 pusat doping yang ada di dunia, selain kembali menjalankan ujian terhadap sampel urin bagi pelanggan dari serata negara.
“Dua kriteria yang perlu di mantapkan adalah dari segi kecekapan staf dan juga memastikan peralatan canggih dan bernilai jutaan ringgit yang ada di PKD berfungsi sepenuhnya secara optimum,” katanya.
“Dalam masa yang sama, staf di PKD juga harus bersedia pada setiap masa dengan pelbagai kemungkinan serta perlu diterapkan dalan diri bahawa staf yang bekerja di PKD adalah memberikan perkhidmatan di peringkat global,” tambah Mohamed Isa sambil memberitahu hanya 35 buah pusat doping yang akan mendapat pengiktirafan WADA.
Mohamed Isa mendapat Ijazah Sarjana Muda Farmasi dari USM pada tahun 1984 dan kemudian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Teknologi Farmasi di University of Bath, united Kingdom pada tahun 1988. Mula berkhidmat sebagai pensyarah di USM pada tahun 1988, Mohamed Isa kemudiannya dipinjamkan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Pengasas Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPharm).
Merujuk kepada harapan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman dalam Bersama-sama Untuk Kecemerlangan Universiti (BUKU) 2014, Mohamed Isa menggariskan beberapa bidang yang perlu diberi perhatian.
“PKD sekarang dalam proses mengukuhkan pelan strategik berdasarkan Tonggak Pertama BUKU 2014 iaitu memperkasakan PKD dan juga memposisikan Pusat Perkhidmatan Analitikal Toksikologi Termaju (CAATS),” kata Mohamed Isa yang juga Pengarah CAATS bermula 1 Januari 2013.
“Bagi tahun 2014 ini, kami mensasarkan untuk mendapatkan semula pengiktirafan WADA dan juga memohon untuk mendapatkan National Association of Testing Authorities (NATA). Oleh itu beberapa perancangan dan penelitian telah dilakukan terutamanya mengemaskini sistem pengurusan kualiti antara CAATS dan PKD walaupun ianya berada di bawah satu pengurusan.
“Selain itu, PKD juga melatih para pekerja untuk menjaga kualiti dan mengoptimumkan penggunaan peralatan dan juga mesin-mesin yang canggih di sini,” jelas Mohamed Isa.
Pelan perancangan untuk tujuan tersebut bagi tahun 2014 ialah penyediaan Prosedur Operasi Makmal Standard (LSOP) dan Pengurusan Kualiti Makmal (LQM), penyediaan sistem kualiti serta penggunaan semula peralatan secara optimum serta menjalankan audit dalaman.
Mohamed Isa turut berkata, antara perkara lain yang perlu diberi penekanan adalah mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan di CAATS dan PKD supaya ia lebih menyeluruh dan bersifat global.
``Kita perlu mendapatkan lebih banyak sampel-sampel termasuk dari luar negara. Ia amat memberi manfaat khususnya dalam membantu kedua-dua pusat ini yang telah dikenalpasti oleh Universiti sebagai antara pusat yang berpotensi menjana pendapatan tinggi,’’ katanya.
Tambah beliau, mengikut rekod pusat di bawah seliaannya itu berupaya menjana pendapatan sehingga RM1.8 juta dan untuk tahun 2014, pihaknya mensasarkan peningkatan penjanaan pendapatan kepada RM2 juta.
``Justeru saya menekankan kepada semua staf untuk mempersiapkan diri mereka dengan set minda global kerana mereka tidak boleh lagi hanya melihat skop tempatan dalam menjalankan urusan dan perkhidmatan seharian.
``PKD dan CAATS masing-masing perlu lebih berperanan untuk berupaya memenuhi sistem kualiti terbaik demi menjamin mutu dan standardnya sentiasa dipelihara dan terjamin,’’ ujarnya sambil menyifatkan dalam masa yang sama pusatnya turut melihat potensi dalaman yang boleh digunakapai untuk tujuan pembangunan penyelidikan dan sebagainya.
Mengulas lanjut berhubung perkembangan CAATS, pusat berasaskan perkhidmatan dan merupakan makmal rujukan kebangsaan dalam penganalisaan keselamatan dan mutu makanan tersebut yang kini telah diiktiraf sebagai memenuhi NATA ISO 17025 dan menunjukkan pencapaian menggalakkan dari segi penjanaan pendapatan kepada Universiti.
Katanya, CAATS yang dilengkapi kekuatan staf yang berkemahiran tinggi dalam penganalisaan berasaskan spektrometri jisim sedang berkembang dengan baik selaras dengan fungsinya sebagai pusat yang menawarkan perkhidmatan yang menepati standard dan piawaian ketat yang diiktiraf badan dunia.
CAATS telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan dipercayai oleh rata-rata pelanggan termasuk pihak kerajaan, pelanggan industri dan sebagainya ekoran kecekapan dan perkhidmatan berasaskan kualiti yang dipraktikkan.
``CAATS juga sangat berpotensi tinggi dalam aspek penjanaan kewangan, memacu penganalisaan toksikologi negara ke peringkat global dan kemampuannya menjalin kerjasama penyelidikan dengan universiti, agensi dan industri kesihatan dan pemakanan di seluruh dunia,’’ ujarnya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Nor Rafizah Md Zain: Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1453