KOR SUKSIS LAKSANA PROGRAM KOMUNITI DAN MASYARAKAT
PULAU PINANG, 11 Februari 2014- Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi atau lebih dikenali sebagai Kor SUKSIS Universiti Sains Malaysia (USM) akan berkampung selama enam hari di Kundasang, Sabah bermula 11 Februari dan menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Seramai lapan orang pelajar dan lima orang jurulatih SUKSIS akan menyertai program ini bersama 10 orang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Majlis perasmian dan perlepasan pelajar-pelajar ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) merangkap Komandan SUKSIS USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Shukri Mustapa Kamal di sini hari ini.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dengan semangat yang berkobar-kobar untuk membantu penduduk di Kundasang. Para peserta juga sanggup mengorbankan duit simpanan masing-masing untuk menampung perpelanjaan untuk program ini ,” kata Ahmad Shukri.
Tambahnya lagi, moto USM ‘Kami Memimpin’ harus diterapkan dalam setiap aktiviti yang dijalankan supaya program tersebut menampakkan kelainan dan harus memikirkan hasil daripada apa yang telah dilakukan.
Antara program yang akan dijalankan adalah motivasi “Jejak Menara Ilmu’” di Sekolah Menengah Kebangsaan Kundasang yang mana para peserta akan berkongsi dengan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) teknik mengambil nota dengan cepat dan mudah di samping mempromosikan kempen penjimatan air dan elektrik.
Selain itu, akan diadakan juga ialah program jaringan komuniti “Celik IT” seperti mengajar asas membina jaringan dan laman sosial untuk tujuan perniagaan kepada penduduk Kampung Dumpiring, Kundasang. Di samping itu, turut diadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar serta penyampaian sumbangan kepada penduduk yang terpilih.
Menurut Pengarah Projek, Mohd Fadzil Mohd Azizan pelajar tahun tiga, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, program ini adalah bertujuan untuk membawa imej kelestarian USM untuk diperkenalkan ke pentas dunia.
“Kelestarian yang dimaksudkan adalah dari segi alam sekitar, perhubungan, ilmu pengetahuan, teknologi dan sebagainya,” tambah Mohd Fadzil semasa majlis pelancaranEksplorasi Merentas Kinabalu Untuk Kesejahteraan Komuniti (EM3k) dengan tema Sukarelawan Melestarikan Bumi Kinabalu.
“Melihat keistimewaan negeri di bawah bayu ini, kami semua akan mencabar diri masing-masing untuk mendaki Gunung Kinabalu bermula 14 Februari dan harapan kami supaya dapat mengibarkan bendera USM dan SUKSIS di puncak gunung tersebut,” tambah Mohd Fadzil. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1650