WUJUDKAN REPOSITORI BIODIVERSITI FAUNA MARIN
PULAU PINANG, 12 Februari 2014 – Akademia di negara ini diharap dapat mengukuhkan jaringan dengan agensi-agensi yang terlibat secara langsung dengan industri perikanan dan hidupan marin khususnya dalam mewujudkan repositori biodiversiti ikan di negara ini.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, repositori tersebut amat penting untuk cuba diwujudkan bagi memberi manfaat kepada penyelidik dan para pelajar dalam membangunkan kajian bidang perikanan.
Katanya, repositori tersebut menjurus kepada mengukuhkan pengkalan data untuk rujukan semua pihak memandangkan banyak perkara yang boleh diterokai oleh penyelidik tempatan dalam meningkatkan penemuan baru bidang perikanan.
``Ini adalah antara langkah jangka panjang yang boleh diberi perhatian oleh para akademia kita dengan melibatkan lebih banyak rakan kerjasama pintar seperti Jabatan Perikanan Malaysia, pihak kementerian dan institusi pengajian tinggi di negara ini,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Asian Fish Biodiversity Conference 2014 (AFBC 2014) di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor University Brunei Darussalam, Profesor Hajjah Zohrah Sulaiman dan Kurator Florida Museum of Natural History, Profesor Larry M Page.
AFBC adalah anjuran bersama USM dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Jabatan Perikanan Malaysia, selain turut mendapat sokongan penuh dari Florida Museum of Natural History dan All Cypriniformes Species Inventory.
Omar turut berkata, benua Asia khususnya Asia Tenggara terkenal dengan kepelbagaian spesis fauna marin dan diiktiraf sebagai kedua terkaya selepas Lembah Amazon.
Pun begitu ujarnya, keistimewaan tersebut disifatkan kian terancam ekoran daripada pembangunan deras dan pengeksploitasian sumber semulajadi yang tidak lestari.
``Justeru kita amat berharap agar persidangan seumpama ini dapat dijadikan antara platform untuk peserta mencari penyelesaian di peringkat global bagi menangani ancaman terhadap industri perikanan di seluruh dunia.
``Bidang ini adalah antara bidang yang amat berpotensi tinggi untuk diterokai dan diharap para pengkaji kita dapat memahami ekosistem hidupan marin ini di peringkat asas bagi menjayakan pelbagai usaha ke arah memelihara hidupan akuatik ini,’’ ujar beliau.
Dalam pada itu, Pengerusi AFBC 2014, Profesor Dr. Siti Azizah Mohd Nor pula berkata, AFBC turut menghimpunkan seramai 180 pakar-pakar hidupan marin dari 25 negara meliputi Asia, Afrika, Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan sebagainya.
Katanya, melalui AFBC juga, beberapa kertas kerja terpilih akan diterbitkan ke jurnal bereputasi tinggi seperti Zootaxa dan Tropical Life Sciences Research.
``Kita melihat perbincangan dalam persidangan ini menjurus kepada taxonomi atau pengenalan terhadap ikan itu sendiri. Ia penting untuk difahami kerana taxonomi menjadi asas kepada pemuliharaan ikan.
``Isu-isu yang dibincangkan dalam persidangan ini juga meliputi beberapa kaedah terkini dalam pengurusan penyelidikan bidang perikanan termasuk kajian saintifik menggunakan molekular sebagai teknik yang membolehkan pengenalan ikan secara morfologi,’’ katanya.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1697