USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUKUHKAN FUNDAMENTAL UNTUK PERKASAKAN PENYELIDIKAN PERIKANAN – PAKAR

IMG 2344

PULAU PINANG, 12 Februari 2014 – Pemahaman terhadap aspek fundamental dan biodiversiti ikan diakui boleh menjurus kepada peluang besar untuk diterokai dalam membangunkan bidang perikanan di negara ini.

Kurator Florida Museum of Natural History, Profesor Dr. Larry M Page berkata, bidang perikanan menyediakan peluang yang amat besar untuk diterokai dan berpotensi menjana pulangan lumayan dalam aspek pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Katanya, pun begitu, fokus perlu diberikan kepada taksonomi atau dalam erti kata lain pengenalan kepada ikan kerana ia menjadi asas untuk pelbagai usaha memulihara dan membangunkan penyelidikan yang lebih berimpak dalam bidang tersebut.

“Banyak potensi penyelidikan yang masih belum dapat kita ketengahkan kerana kebanyakan dari kita tidak memahami dengan jelas biodiversiti, tingkahlaku ekologi, potensi dalam bidang ekonomi serta manfaat besar yang bakal diperoleh dari bidang ini.

“Justeru, taksonomi harus diberi perhatian dalam usaha kita memperkasakan penyelidikan bidang perikanan di peringkat global,’’ ujarnya yang turut hadir bagi menyertai Asian Fish Biodiversity Conference 2014 (AFBC 2014) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman turut berkata, pemahaman yang jelas berkaitan ekologi dan habitat ikan perlu dipertingkat kerana ia menjadi kunci kepada kejayaan usaha pemuliharaan hidupan akuatik tersebut.

Katanya, banyak perkara yang perlu diberikan perhatian termasuk mengenalpasti punca ancaman kepada ikan-ikan, selain mendidik masyarakat berkenaan biodiversiti melalui pendokumentasian bidang itu seberapa cepat yang mungkin.

IMG 2277

“Ribuan spesis ikan masih belum diperincikan khususnya di kawasan tropika. Pendokumentasian ini amat penting kerana ia membolehkan penyebaran ilmu pengetahuan dalam memelihara habitat dan juga pengurusan terancang terhadap spesis-spesis yang wujud dan terancam.

“Justeru ahli biologi di rantau ini perlu berkomunikasi secara lebih efektif khususnya dalam membangunkan satu polisi pemeliharaan dan pemuliharaan masa depan yang lebih lestari,’’ ujarnya.

Beliau turut berharap Malaysia akan mampu mewujudkan sebuah repositori khas berkaitan biodiversiti ikan untuk dijadikan rujukan oleh pengkaji di negara ini tanpa perlu ke luar negara untuk mendapatkan input berkaitan hidupan akuatik tersebut. - Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1056

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024