USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM REALISASI PROGRAM SATU SEMESTER DENGAN GAC

IMG 2414

PULAU PINANG, 14 Februari 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) buat pertama kalinya merealisasikan program Satu Semester di Malaysia (SSM), program khas yang diwujudkan bagi membolehkan pelajar luar negara mengikuti pengajian selama satu semester di universiti ini. Buat permulaan, USM bekerjasama dengan Gustavus Adolphus College (GAC), Minnesota, Amerika Syarikat.

SSM ini disertai oleh seramai 12 pelajar dari pelbagai kursus dari GAC mengikuti program ini di kampus induk USM bermula dengan dua hari program orientasi seperti jalan-jalan di dalam kampus, mempelajari Bahasa Melayu dan sebagainya.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEAA), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, program SSM tersebut diadakan julung-julung kali walaupun kerjasama dan hubungan dengan GAC dan universiti-universiti lain telah lama dibina.

“Program ini sangat berbeza dengan program pertukaran pelajar yang mana hanya seorang pelajar akan mengikuti kelas-kelas di USM mengikut kursus yang bersesuaian. Uniknya program ini kesemua dua belas pelajar tersebut akan berada di dalam kelas yang sama dan mempelajari bidang yang sama walaupun antara mereka berlatar belakang pelbagai kursus dan pengalaman,” tambah Ahmad Shukri yang hadir untuk merasmikan program ini.

Mereka yang terpilih ini akan mengikuti empat kursus untuk empat bulan yang mana silibus ini digubal khas untuk mereka meliputi empat bidang khas iaitu Ekologi Tropikal, Bahasa Melayu dan Kebudayaan, Pengalaman Keagamaan di Malaysia dan juga Diversiti Kehidupan.

Kesemua bidang ini dijalankan dengan kerjasama pusat-pusat pengajian di USM iaitu Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) dan juga Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT).

IMG 2407

Selain kelas-kelas teori, mereka juga akan membuat kerja lapangan di pelbagai tempat di seluruh Malaysia seperti di Pulau Orang Utan di Perak, Lembah Lenggong di Kedah, Pulau Redang Terengganu dan juga Melaka.

“Program sebegini sangat menepati keperluan GAC kerana merangkumi pelbagai bidang serta dapat merasai pengalaman di luar negara terutamanya Malaysia,” kata Pengarah Pusat Antarabangsa dan Pendidikan Kebudayaan GAC Profesor Steven H. Mellema yang juga Profesor Kunjungan di Pusat Pengajian Sains Fizik USM.

Turut hadir ialah Dekan PPBLT, Profesor Madya Dr. Tengku Sepora Tengku Mahadi, Dekan PPSK, Profesor Madya Dr Nor Malina Malek, Koordinator-koordinator Modul dan juga Timbalan Pendaftar HEAA, Ajindar Kaur. - Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 931

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024