ISHAK AHMAD MAZAR ALI - "TANGGUNGJAWAB DAN KOMITMEN PERLU SEIRING"
PULAU PINANG 17 Feb – Jika Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee terkenal dengan kata hikmahnya 'irama dan lagu tidak dapat dipisahkan', perumpamaan 'perabot dan kerusi meja tidak dapat dijauhkan' amat sesuai buat Ishak Ahmad Mazar Ali, 59, Pembantu Tadbir Kanan, Unit Tempahan Perabot, Jabatan Pembangunan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Dilahirkan pada 28 Februari 1955 di Batu Uban, Pulau Pinang, anak keempat dari tujuh adik beradik ini memulakan pengajiannya di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Abdullah Munshi.
"Selepas itu saya berpeluang mengikuti kursus selama setahun dalam bidang 'Building Construction' di Nishikawaguchi, Jepun, dibawah program anjuran Pusat Latihan Dusun Tua yang terletak di Hulu Selangor sebelum pulang ke tanah air sekitar tahun 1976."
Sekembalinya ke Malaysia, beliau berkhidmat dalam pelbagai sektor seperti perindustrian, perbankan, Penang Airport Sdn.Bhd dan juga di Kementerian Kebudayaan, Belia & Sukan pada ketika itu.
Ketika ditanya tentang bagaimana beliau terbuka hati untuk berkhidmat dengan USM, dengan bangga beliau menjelaskan USM memang telah ditakdirkan untuk beliau mencari sesuap nasi hingga ke akhir hayat.
"Dan langkah pertama saya di USM pada 1 Februari 1980, telah memahatkan seribu satu kenangan pahit manis yang pastinya akan terlipat indah dalam sejarah hidup saya.'
Berpegang pada prinsip, jalankan arahan dan amanah dengan sebaiknya, menjadikan Ishak antara penyelia yang 'digeruni' oleh kakitangan seliaannya.
"Digeruni bukan bermakna perlu takut dan tunduk, tapi sifat hormat-menghormati yang perlu diterapkan, supaya menjadikan diri kita lebih sedar akan makna kewujudan di alam maya ini.'
Juga dikenalil sebagai 'Dekan Perabot' dalam kalangan warga USM, Ishak juga amat menitikberatkan soal ketepatan masa dan kerjasama antara satu sama lain.
"Bayangkan, dalam setahun, unit ini menerima hampir 1,000 permohonan yang datangnya dari pelbagai jabatan dan mahasiswa. Atas sebab itu, saya kena pastikan semua permohonan ini dipenuhi kerana mereka adalah 'pelanggan' kita, dan tentunya apa yang dikehendaki semuanya bukan atas kapasiti peribadi.'
"Oleh sebab itulah, saya sangat mengharapkan kerjasama dari semua sahabat di sini agar berpegang pada prinsip 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'. Janganlah ada yang berkira 'riang' (tenaga) kerana itu akan merugikan kita semua."
Tambahnya lagi, melihat dengan beban tugas semasa, beliau turut menyifatkan semua orang perlu tahu peranan masing-masing, disamping mampu melaksanakan tugas diluar kebolehan mereka.
Ishak turut berhasrat menyambung impiannya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang agama ke peringkat yang lebih tinggi lagi pada masa akan datang.
"Ilmu tidak akan susut, amal tidak boleh hilang, hidup hanya sementara, alam sana ada menunggu kita," katanya semasa ditanya apa impiannya selepas bersara nanti.
Memperoleh tauliah mengajar Tajwid dan Fardhu Ain dari Majlis Agama Islam Kedah pada tahun 2001, Ishak sebenarnya juga berkebolehan mengajar bahasa Jepun asas.
"Kadang-kadang, ada pensyarah atau staf yang akan dihantar berkursus ke Jepun berjumpa saya terlebih dahulu, sebab katanya ilmu akan lebih cepat meresap disebabkan saya tegas dan garang," katanya berjenaka.
"Buat masa ini, saya berkesempatan mengajar tajwid dan 'Basic Arabic Grammar' di Pusat Islam USM, yang telah dimulakan sejak tahun 2010, sekembalinya dari mengerjakan haji di tanah suci Mekah."
Beliau juga menaruh harapan agar selepas persaraannya, Unit Tempahan Perabot akan terus relevan dan menjadi tulang belakang Universiti, terutama dalam memastikan semua acara-acara rasmi dapat berlangsung dengan teratur dan sempurna.
"Tidak kira di mana acara itu berlangsung, siang ataupun malam, dekat ataupun jauh, penuhilah hasrat mereka yang meminta bantuan kita, kerana saya percaya, setiap satu amal yang kita lakukan, Allah akan membalasnya dengan seribu kebaikan, membuka pelbagai pintu rezeki yang kita sendiri tidak akan sangka utk menerimanya," ujarnya mengakhiri perbualan.
Teks : Mohd Danial Shahri / Foto : Mohd Fairus Md Isa
Siri 1USM - Saya Sayang USM.
- Created on .
- Hits: 1321