MAD BADANG: "IKHLAS DAN JUJUR KUNCI KEJAYAAN"
PULAU PINANG 17 Februari – "Selagi termampu, saya akan laksanakan tanggungjawab yang diberi dengan sebaiknya, kerana didalamya sebenarnya ada kepercayaan yang tidak mungkin saya khianati,"ungkap Ahmad Mohd Hussain atau lebih dikenali sebagai Mad Badang dalam kalangan teman-teman rapat di Universiti Sains Malaysia (USM).
Bertugas hampir 30 tahun di Jabatan Pembangunan USM, Ahmad juga dikenali sebagai seorang yang tidak pernah membantah dalam menjalani tugas seharian.
" Saya diajar untuk tidak menyusahkan orang lain, bahkan jika boleh, permudahkan apa yang diminta, terutama dari segi kerja, kerana saya tahu, jika seseorang itu memerlukan pertolongan, maknanya dia memang mengharapkannya."
Memulakan kerjaya di USM seawal tahun 1984, Ahmad menyifatkan bidang tugasnya sentiasa mencabar dari tahun ke tahun dan menuntut pengorbanan serta komitmen yang tinggi.
"Mencabar bagi saya kerana dahulu tidak ada terlalu banyak aktiviti Universiti atau pelajar seperti sekarang. Namun, saya selalu menganggapnya sebagai cabaran baru yang semakin hari, semakin seronok untuk diteroka."
"Pada asalnya, saya ditempatkan di Bahagian Halaman sebelum bertukar ke Unit Perabot pada tahun 1991 sehinggalah kini."
Ditanya dari manakah gelaran Mad Badang itu diperoleh, sejujurnya beliau menjawab tidak tahu kerana apa yang sering terlintas di fikirannya ketika bertugas, hanyalah melaksanakannya sebaik mungkin.
"Mungkin saya dipanggil begitu kerana pada pandangan teman-teman lain, saya masih mampu mengerah kudrat dan tenaga sama seperti orang muda, meskipun kini saya sudah mencecah 57 tahun," ujarnya yang dilahirkan pada 3 Jun 1957 di Batu Uban, Pulau Pinang.
Menurut anak ke tujuh dari tiga belas adik beradik ini, sepanjang berkhidmat selama 23 tahun di Unit Perabot, tidak pernah sekalipun beliau ditimpa kemalangan di tempat kerja.
Ketika ditanya bagaimana mengekalkan kesihatan dan kecergasan berterusan, Ahmad hanya berseloroh dengan mengatakan tidak berpantang makan, sentiasa ketawa dan jangan menyakiti hati orang lain.
"Kalau setakat sakit pening, demam itu memang ada. Tapi tak ada sampai ambil cuti sakit untuk tempoh yang lama."
"Syukur hingga kini saya masih dikurniakan kesihatan yang baik, walaupun ada kalanya terseliuh di sini sana," tambahnya spontan.
Bagi Ahmad, kunci atau rahsia beliau bertapak lama di Unit Perabot adalah kerana beliau menikmati setiap saat dan peluang yang ada dengan sebaiknya, iaitu dengan bergembira dengan setiap orang disekelilingnya.
"Saya hanya dibantu lapan orang rakan yang lain. Dengan beban kerja yang semakin bertambah, kami perlu pastikan antara kami telah 'diikat' oleh satu rasa yang istimewa, agar tanggungjawab seharian kami dapat disempurnakan dengan cemerlang."
Tambahnya lagi, dengan jadual kerja yang tidak menentu, perbincangan bersama penyelia dan rakan sekerja perlu kerap dilakukan bagi memastikan setiap daripada mereka memahami peranan masing-masing.
"Saya amat mengharapkan agar staf yang baru diserap ke unit ini nanti, mampu menangani segala cabaran dan permintaan dari warga USM, yang adakalanya, tidak terjangka oleh kita."
Ditanya mengenai perancangannya selepas bersara dari USM, dengan tersenyum lebar beliau hanya mengatakan mahu berehat sepuasnya di rumah atau jika berpeluang, melancong bersama rakan-rakan.
"Dah lama rasanya tak melancong diluar negara, mana tahu rezeki selepas bersara, boleh pergi ke negara lain pula," katanya yang telah berpeluang melawat Indonesia dan Thailand.
Teks : Mohamad Danial Shahri / Foto : Mohd Fairus Md Isa
Siri 1USM. Saya Sayang USM
- Created on .
- Hits: 1515