ANAK MALAYSIA PAKAR RUJUK DUNIA: PENEMUAN BUKIT BUNUH BERI IMPAK BESAR KEPADA GLOBAL
PULAU PINANG, 20 Februari 2014 – Penemuan oleh pakar arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) di tapak ekskavasi di Bukit Bunuh, Lenggong, Perak yang mendedahkan manusia awal telah wujud di rantau Asia Tenggara, khususnya di Malaysia sejak lebih 1.83 juta tahun dahulu telah membuka mata pelbagai pihak di serata dunia.
Penemuan ini yang berkait dengan teori ‘Out Of Africa’ dan ‘Multiregional’ mencadangkan pemikitan semula kepada teori tersebut. Hal ini juga menjadi titik tolak sehingga anak jati Malaysia kini tidak menang tangan memberi khidmat kepada dunia untuk membantu mereka menjalankan pelbagai kajian arkeologi saintifik di negara mereka.
Pakar yang dimaksudkan ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin, 51, anak kelahiran Perak yang namanya kini semakin terkenal sehingga ke benua Eropah ekoran kejayaannya membimbing PPAG dengan pelbagai kisah kejayaan dalam tempoh kurang dari 10 tahun.
Sehingga kini juga, PPAG USM telah menjadi pakar rujuk, malah turut membantu penyelidikan di Bosnia, Sulawesi, Sumatera, Pakistan dan sebagainya.
Bercerita mengenai perancangannya untuk tahun 2014, Mokhtar yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) USM-Harvard University berkata, PPAG akan memberi tumpuan kepada kesinambungan projek-projek kajian sedia ada selain memfokuskan kepada beberapa projek terbaru termasuk kajian di Gandhara, Pakistan dan arkeologi Islam di Acheh.
Katanya, PPAG sehingga kini terlibat dalam latihan serta penghasilan modal insan arkeologi bukan sahaja di negara ini, malah telah meluas ke negara-negara seperti Amerika Syarikat, UK, Singapura, Indonesia, Iran, Pakistan, Thailand, Brunei dan sebagainya.
``Sebagai contoh, saya juga mengetuai pasukan penyelidikan PPAG yang akan ke Pakistan pada Mac depan bagi melaksanakan kerja penyelidikan di Gandhara Kashmir Smast Peshawar, Pakistan dengan ketinggian sekitar 1200 - 2000 meter di atas aras laut dan menemui bukti-bukti arkeologi yang dapat menemukan bukti baharu pensejarahan pelbagai agama.
``Tapak di utara Pakistan ini amat penting kerana ia adalah laluan perjalanan barat dan timur. Kepercayaan Pakistan terhadap kredibiliti PPAG turut menjadi penanda aras bahawa kepakaran kita sangat diiktiraf. Bukan calang-calang negara yang dibenarkan berada di sana, inikan pula diberi kebenaran khas membuat penyelidikan penting di tapak yang menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk barat,’’ ujar beliau.
Katanya, pihak Barat turut mengetahui bahawa tapak di Gandhara adalah lubuk arkeologi yang menyimpan khazanah berupa lapisan paling lengkap di dunia yang dapat menceritakan pensejarahan tamadun di sana dari peringkat awal. Justeru Malaysia khususnya PPAG ‘dicemburui’ kerana berupaya mendapat lampu hijau dari kerajaan Pakistan untuk memulakan kajian di sana.
Katanya, PPAG akan mula menjalankan ekskavasi pada tahun ini melalui kerjasamanya dengan Universiti of Peshawar dan antara yang diberi tumpuan adalah dalam mengumpul bukti-bukti prasejarah yang membawa kepada penemuan lebih besar terhadap sejarah awal lokasi tersebut. Katanya lagi, tapak Gandhara menjanjikan pulangan yang cukup tinggi dalam pembangunan ilmu serta penghasilan penerbitan berkualiti untuk dimuatkan dalam jurnal terkemuka dunia.
``Gandhara turut memberi peluang kepada PPAG dalam melahirkan modal insan terlatih dalam bidang arkeologi memandangkan kawasan tersebut dipenuhi dengan pelbagai khazanah yang dapat membuka ruang lebih besar dalam aspek kajian saintifik. Kita dapat melatih pelajar-pelajar kita dengan peluang yang ada, selain dalam masa yang sama menyumbang peda penceritaan semula sejarah untuk pembangunan ilmu di luar negara,’’ katanya.
Pun begitu, mengulas berhubung risiko menjalankan kajian di negara bergolak, Mokhtar berpendapat, Pakistan adalah antara sebuah negara yang sukar diramal.
Namun jelasnya, pasukan mereka akan diberikan perlindungan maksimum dan tidak dibenarkan bergerak bebas tanpa kawalan bagi memastikan tahap keselamatan meraka sentiasa terjamin khususnya ketika menjalankan kerja-kerja ekskavasi.
KAJIAN ARKEOLOGI ISLAM DI ACHEH
PPAG turut akan memulakan kajian arkeologi Islam di Acheh, Indonesia dalam masa terdekat dan kepakaran PPAG ditagih khususnya dalam kajian saintifik. Penyelidikan di Indonesia itu menjadi mercu tanda yang harus dibanggakan negara kerana USM telah diberikan mandat untuk membantu dalam melengkapkan data-data sejarah di kawasan tersebut yang belum pernah dijalankan oleh mana-mana pihak termasuk pengkaji Indonesia sendiri.
``Kepakaran kita diminta untuk membantu menjalankan kajian saintifik. Sebagai contoh sebelum ini tamadun awal Islam Nusantara dibuktikan oleh Makam Malikussaleh pada abad ke-12. Pun begitu, saya yakin ia sebenarnya jauh lebih awal dan berdasarkan kajian kita di sana pada tiga tahun lepas (2011), kita telah menemukan batu nisan bertarikh 1007 Masihi (abad ke-11).
``Kita yakin penemuan tersebut kan membawa kepada penemuan lebih banyak bukti-bukti lain termasuk tapak, senibina, manik, syiling yang boleh menyokong dan menguatkan lagi bukti kajian. Usaha ini antara lain akan memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak yang mana USM dapat menghasilkan modal insan terlatih dalam bidang arkeologi manakala Indonesia pula bakal memperoleh manfaat dengan terhasilnya bukti-bukti baru yang dapat melengkapkan data sejarah negara tersebut,’’ katanya.
Peluasan kepakaran USM di negara Indonesia itu direalisasikan melalui kolaborasi pintar yang terjalin sekian lama dengan dua universiti di sana iaitu Universitas Syiah Kuala dan Universitas Sumatera Utara.
KEKUATAN PPAG MAKIN MENGUKUH
Katanya, kejayaan demi kejayaan yang diraih PPAG turut dibantu dengan sokongan fasiliti bertaraf dunia yang ada di PPAG, termasuk Makmal Perincian Bahan Bumi serta peralatan kajian seperti XRD, XRF dan SEM yang banyak menyumbang kepada penghasilan penyelidikan yang berkualiti.
Mokhtar yang memulakan kerjaya bersama USM bermula pada tahun 1987 turut mengakui PPAG berkembang dengan pesat dan sehingga kini menerima sejumlah 40 pelajar ijazah tinggi berdaftar di pusat kecemerlangan tinggi itu. Tambahnya, PPAG juga telah menjalin rangkaian kerjasama di peringkat global dengan universiti terkemuka dunia termasuk Harvard University, Cambridge University, Korea Basic Science Laboratory, Korea, Flinders University, Australia, Roskindle University, Denmark, dan sebagainya.
``Paling penting, penemuan di Bukit Bunuh (bukti Paleolitik tertua di luar Afrika, Kompleks Sungai Batu (tamadun awal asia tenggara) serta bukti prasejarah Mansuli, Sabah berusia 235,000 tahun telah menjadi antara kejayaan penting yang membantu melonjakkan kecemerlangan PPAG. Ia Kesinambungan daripada usaha berterusan yang dijalankan untuk meningkatkan pembangunan ilmu dalam arkeologi untuk masa depan negara,’’ ujarnya.
Tambah Mokhtar lagi, PPAG turut menerima geran daripada Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) kira-kira RM10 juta bagi membangunkan pelbagai kajian berimpak tinggi, selain turut disuntik dengan pelbagai geran lain termasuk dari Jabatan Warisan Negara. Rentetan daripada pelbagai kajian yang dijalankan, barisan penyelidik termasuk Mokhtar sendiri juga telah tampil dengan pelbagai penerbitan.
``Selian itu, PPAG juga telah berjaya memperkenalkan beberapa inisiatif yang dapat mengukuhkan lagi peranan arkeologi dalam pembangunan ilmu termasuk dengan menubuhkan Galeri Arkeologi di USM, program sahabat@arkeologi (kempen pemupukan minat kepada arkeologi dalam kalangan pelajar sekolah), penerbitan Siri Arkeologi Perdana dan sebagainya yang turut membantu mengukuhkan lagi peranan PPAG untuk pembangunan bidang ilmu,’’ ujarnya lagi. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 1620