USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASA SUMBANGAN ALUMNI

230214

AYER KEROH, MELAKA, 23 Februari 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) akan terus memperkasakan alumninya di seluruh negara dengan menubuhkan pasukan petugas dalam bentuk sekretariat di seluruh negara bagi negeri-negeri yang belum mempunyai persatuan alumninya sendiri.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman, Universiti mengorak langkah dengan mengumpulkan para alumninya melalui perjumpaan dengan para alumninya di setiap negeri dan menggembleng kekuatannya untuk bersama-sama merancang dan mengadakan aktiviti yang bersesuaian.

"Kita bermula secara kecil-kecilan untuk mereka membangunkan perhubungan akrab yang digembleng bersama-sama terutamanya pada peringkat negeri untuk tujuan tersebut yang telah dimulakan pada tahun lalu dengan menubuhkan sekretariat alumni di negeri Johor, Sabah dan Kelantan serta memperkukuhkan Persatuan Alumni USM Negeri Trengganu," jelas Omar.

DSC 3609

Tambahnya lagi, alumni sebagai antara tonggak utama kekuatan universiti akan terus digembleng bersama-sama di semua peringkat terutamanya negeri-negeri dan USM kini giat pula mencari ikon dalam kalangan mereka sebagai contoh kejayaan yang ada dan pada masa yang sama menggerakkan kerjasama dengan universiti-universiti tempatan lain seperti yang dilakukan dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Trengganu (UMT) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Sementara itu berucap di majlis yang berlangsung di Dewan Kampus Industri UTeM itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Negeri Melaka Datuk Wira Haji Md. Yunos Husin berkata, sampai masanya alumni USM yang berjumlah hampir 4,000 orang itu digembleng bersama untuk memainkan peranan dalam pembangunan negeri dan masyarakat.

"Misalnya kejayaan negeri Melaka membawa masuk kira-kira 14.3 juta pelancong pada tahun lalu yang dijangka mencecah 15 juta orang pada tahun 2014 ini sewajarnya diambil kesempatan oleh semua pihak termasuk para alumni USM membangunkan pelbagai industri hiliran dalam memperkukuhkan usaha tersebut dengan mengambil sepenuhnya peluang yang ada untuk tujuan tersebut," katanya berucap mewakili Ketua Menteri Melaka Dato' Wira Ir Idris Haron.

DSC 3508

Tambahnya lagi, tenaga yang ada boleh digembleng yang bukan sahaja memberi manfaat kepada universiti, tetapi juga kepada negeri dan masyarakat setempat.

Seramai 50 orang alumni USM Melaka hadir pada perjumpaan tersebut dan berjaya pula ditubuhkan Sekretariat Alumni USM Melaka.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan yang turut menerima pelekat khas, Sahabat USM serta Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM Profesor Dr. Adnan Hussein. - Teks: Mohamad Abdullah

 

 

  • Created on .
  • Hits: 948

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024