MOSTI KOMITED BANTU PENYELIDIK
KUALA LUMPUR , 20 Februari 2014 – “Saya dan pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited untuk membantu para penyelidik untuk memasarkan hasil penyelidikan namun begitu, saya menyeru untuk semua juga membantu pihak MOSTI dari pelbagai segi bagi menjaminkan hasil yang terbaik,” ucap Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah ketika merasmikan Malaysia Technology Expo (MTE) 2014 di sini baru-baru ini.
“Dalam usaha ini MOSTI telah melancarkan 2014 sebagai tahun pengkomersialan produk penyelidikan (MCY) dan seiring dengan itu pihak MOSTI akan menjalankan pelbagai agenda untuk memperhebatkan pencapaian bidang sains dan teknologi,” tambah Abu Bakar yang sangat teruja dengan hasil penyelidikan yang dipamerkan di MTE termasuk daripada sekolah, kolej dan juga universiti.
Universiti Sains Malaysia (USM) menghantar 16 penyertaan/produk dalam MTE sekaligus memberi ruang kepada para penyelidik tersebut khususnya USM mengangkat produk penyelidikan ke peringkat yang lebih tinggi.
Kebanyakkan penyertaan MTE kali ini sangat berpotensi untuk meraih pelbagai pingat kerana telah menghasilkan samada prototaip ataupun yang sudah sedia dipasarkan.
“Rekacipta dan inovasi penyelidik tempatan menjadi tonggak kepada kemajuan sains dan teknologi dan bidang tersebut perlu dibangunkan serta digembleng bagi memacu pertumbuhan ekonomi, sekaligus merealisasikan harapan menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020,” ujar Abu Bakar.
Oleh yang demikian, MOSTI akan membina sebuah Pusat Pameran Pengkormesialan Negara (PPPN) yang berperanan untuk mengetengahkan inovasi dan produk-produk penyelidikan berkualiti penyelidik tempatan.
``PPPN berperanan dalam memberi ruang kepada penyelidik mempamerkan produk penyelidikan mereka yang sedia dikomersialkan dan yang telah meraih pelbagai pengiktirafan baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa untuk pendedahan dan tarikan kepada pelabur,’’ ujarnya.
- Created on .
- Hits: 949