MOHD YUSOF OMAR – “43 TAHUN YANG MENYERONOKKAN”
PULAU PINANG, 24 FEBRUARI 2014 – “Saya tidak pernah jemu dengan apa yang saya lakukan sekarang, malah saya sangat seronok bekerja di Universiti Sains Malaysia”
Itulah perasaan terpancar dari seorang kakitangan senior di Universiti Sains Malaysia (USM), Encik Mohd Yusof Omar, 60, apabila ditanya perasaan beliau setelah sekian lama menabur bakti buat universiti.
Mohd Yusof, mula menjejakkan kaki di USM sejak tahun 1971 seawal usia 17 tahun, kini telah 43 tahun berkhidmat di USM berkata, beliau amat gembira sepanjang berkhidmat di USM dan USM adalah sebahagian dalam hidup beliau.
“43 tahun cukup banyak pengalaman pahit dan manis yang saya lalui sepanjang bekerja di universiti, apatah lagi melihat pembangunan dan kejayaan universiti dari hari ke hari membuatkan saya amat sayang kepada USM”
“Apatah lagi melihat pelajar-pelajar di bawah kendalian saya dahulu sekarang sudah menjadi pensyarah dan penyelidik yang berjaya”
Yusof, anak kelahiran Pulau Pinang dan kelima dari 10 orang adik beradik ini memulakan kerjayanya di USM sebagai Pembantu Am Pejabat di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan pada 14 Jun 1971 dan seterusnya sebagai Pembantu Makmal Rendah di Pusat Pengajian Sains Kajihayat bermula tahun 1981.
Seterusnya beliau dinaikkan pangkat sebagai Pembantu Makmal (1994) dan kini menjawat sebagai Ketua Pembantu Makmal.
“Kesusahan zaman dahulu mencari sesuap nasi amat menyentuh hati saya apatah lagi saya antara harapan adik beradik yang lain dalam hal kewangan”
Ketika ditanya tugas yang dilakukan sepanjang berkhidmat di USM, penerangan yang diberikan dapat menggambarkan beliau amat komited dengan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
“Saya melakukan semua kerja walaupun bukan bidang tugas saya, termasuk membantu pensyarah mengajar untuk kelas amali dan taklimat-taklimat berkaitan”
Tambah lagi Yusof sememangnya dikenali sebagai seorang yang sangat berkebolehan dalam pengurusan aktiviti-aktiviti penyelidikan membabitkan kawasan hutan, bukit bukau dan gunung.
Kerana cukup berpengalaman dalam selok belok hutan Yusof sentiasa dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras dan penunjuk arah buat pensyarah dan pelajar ketika menjalani penyelidikan di kawasan berkenaan.
“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana boleh dikatakan semua hutan dan gunung di semenanjung dan Sabah Sarawak telah saya jejaki dan terokai” kata beliau yang juga berkebolehan memasak ketika berada di hutan.
Ceritanya lagi, ilmu dan pengetahuan ketika berada di hutan dan gunung perlu dipelajari kerana ia penting ketika berada dalam keadaan terdesak atau darurat.
“Pernah saya beberapa kali membawa pelajar tersesat di dalam hutan dan menemui jalan buntu sedangkan saya fikir sudah begitu arif dengan laluan di hutan itu,tetapi berkat ilmu dan ayat-ayat suci saya dapat menemui jalan kembali” kongsi beliau ketika ditanya pengalaman-pengalaman mencabar ketika berada di hutan.
Diganggu makhluk halus dan berhadapan dengan haiwan buas sudah menjadi asam garam dalam tugasnya ketika di hutan.
“Saya selalu menasihati para pelajar agar jangan terlalu seronok ketika di hutan, termasuklah menjaga adab dan kata-kata bagi menghormati penghuni di kawasan tersebut,” tegas Mohd. Yusof yang juga pernah mengendali penyelidik dan pelajar luar negara di hutan seperti mereka yang datang dari Amerika Syarikat, Jepun dan Kanada.
Mohd Yusof yang juga berpengetahuan luas dalam bidang pengawetan dan penyelidikan spesis Kelawar di Malaysia juga seringkali dijemput oleh universiti dan institusi luar bagi menyampaikan taklimat dan menyertai ekspedisi.
“Saya pernah dijemput untuk membentang kertas kerja di Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal termasuk menyampaikan taklimat di beberapa buah universiti seperti UPSI, UKM di samping membantu para pelajar Matrikulasi”
Antara ekspedisi yang pernah disertainya adalah Ekspedisi Jabatan Perhutanan dan Ekspedisi Saintifik anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Mohd. Yusof yang cukup ramah berkongsi pengalaman berkata lagi dia akan sentiasa memastikan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan beliau termasuklah perkongsian ilmu dan kepakaran.
“Sememangnya saya amat mementingkan disiplin dalam apa yang dilakukan, tidak tahu saya akan bertanya, menyelidik terlebih dahulu dan memastikan kelengkapan semua berada di dalam terbaik sebelum kerja-kerja penyelidikan dilakukan,” tambahnya lagi.
Ketika diminta memberikan kata-kata nasihat untuk warga staf USM, sambil tersenyum Mohd. Yusof berkata, sumbang dan berbaktilah kepada universiti selagi termampu,usah difikir apa yang universiti boleh berikan kepada kita, fikirlah apa yang kita boleh sumbangkan kepada universiti.
Tambahnya lagi, nama USM kini sudah menjangkau tinggi dan sepatutnya kita sebagai warga kampus berbangga dan menikmati kejayaan tersebut.
“Sekiranya kita ikhlas dalam melaksanakan amanah yang diberi sama ada nampak atau tidak, jika USM mengecapi apa jua kejayaan, sedikit sebanyak akan menyentuh hati kita, itu tandanya hati kita amat dekat dengan USM,” katanya lagi.
Mohd. Yusof yang akan bersara pada bulan Oktober ini belum merancang apakah yang ingin dibuatnya nanti.
“Buat masa ini saya tidak fikir lagi apa akan dilakukan selepas bersara, tetapi jika universiti masih memerlukan khidmat saya, pasti saya akan datang, kerana keseronokan bekerja di sini sukar digambarkan dengan kata-kata.” Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar / Mohd Yusof Omar
- Created on .
- Hits: 2391