USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RU BERJAYA TINGKATKAN PENERBITAN BERTARAF DUNIA

240214-a

 

PETALING JAYA, 24 Februari 2014 - Mengikut Scopus iaitu pangkalan data abstrak dan citation dari artikel jurnal peer-reviewed yang terbesar di dunia saat ini, ahli akademik dan para penyelidik Malaysia telah berjaya menghasilkan lebih daripada 14,000 kertas penyelidikan dari tahun 1996 hingga 2012, mengatasi Singapura dengan 12,000 dan Thailand hampir 8,000.

Hal ini mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memberikan komitmen untuk terus memainkan peranannya dalam pembangunan penyelidikan berimpak tinggi di Malaysia dengan memberi sokongan penuh kepada usaha ahli-ahli akademik tempatan terutamanya dalam kalangan lima buah universiti penyelidikan (RU) awam negara.

Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh memberi jaminan bahawa pihak kerajaan akan terus memperuntukkan sejumlah dana yang besar untuk membiayai usaha penyelidikan yang dijalankan di kesemua universiti awam berstatus RU sejajar dengan matlamat Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

“Saya bangga dengan pencapaian para penyelidik tempatan di RU khususnya dalam bidang penyelidikan dan penerbitan makalah dalam jurnal antarabangsa berimpak tinggi sekaligus menunjukkan terdapat peningkatan yang mendadak dalam aktiviti dan output penyelidikan yang dijalankan di universiti-universiti tersebut sejak diberi pengiktirafan status RU pada tahun 2006 oleh kerajaan Malaysia.

“Ini juga menunjukkan semakin ramai penyelidik yang sedar betapa pentingnya untuk menerbitkan hasil atau output penyelidikan mereka khususnya dalam jurnal berwasit dan berimpak tinggi antarabangsa sebagai satu cara berkongsi pengetahuan dan ilmu yang diperoleh daripada penyelidikan mereka supaya dapat dirujuk bersama oleh generasi akan datang dan juga menjadi asas kepada inovasi dan penemuan baru yang lain,” kata Idris Jusoh ketika menghadiri acara sidang media dan pameran kejayaan universiti penyelidikan di sini hari ini.

240214-b

Acara sidang media ini bertemakan “Malaysia sebagai Sebuah Negara Maju: Peranan Universiti Penyelidikan” adalah hasil inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia bersama-sama semua RU yang akan secara bergilir mengadakan taklimat media untuk menunjukkan pencapaian dalam pelbagai fokus yang berbeza-beza.

Usaha ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada kelima-lima buah RU iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk mempamerkan kejayaan hasil penyelidikan dan inovasi mereka dari dana yang diberi selama ini.

Universiti Malaya telah diberi penghormatan untuk menganjurkan siri pertama ini yang memberi fokus kepada penerbitan.

“Ini juga menunjukkan prestasi universiti penyelidikan awam negara dalam bidang penyelidikan adalah setanding dengan prestasi universiti-universiti terkemuka yang lain di dunia,” tambah Idris Jusoh yang turut dibawa melawat pameran hasil penyelidikan kelima-lima RU tersebut.

Terdapat juga sesi pembentangan yang mana setiap RU akan mencalonkan dua penyelidiknya yang terunggul dari segi penerbitan kertas penyelidikan untuk membentangkan hasil penyelidikan berimpak tinggi masing-masing kepada pihak media.

DSC 4109

Dalam sesi pembentangan tersebut, USM diwakili oleh dua penyelidiknya yang berjaya menghasilkan penerbitan berimpak tinggi  iaitu Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan Profesor Dr. Hanafi Ismail dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral. Turut serta ialah Profesor Dato' Dr. Mokhtar Saidin dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global yang mengambil bahagian dalam pameran statik.

Turut hadir ialah Naib Canselor kelima-lima universiti penyelidikan termasuk Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Badrul Munawir Abdul Rahim

 

  • Created on .
  • Hits: 1141

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024