AMALAN TEKNOLOGI HIJAU MAMPU JIMATKAN KOS BIL ELEKTRIK SEBANYAK 40%
KUALA LUMPUR, Februari 2014 - Penerapan nilai-nilai teknologi hijau yang sedang giat diusahakan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) diharap dapat membantu YaPEIM menjimatkan kos bil elektrik sehingga 40 peratus iaitu bersamaan RM1.7 juta untuk tempoh dua tahun yang akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Haji Jamil Khir Haji Baharom (B) berkata, dengan penjimatan kos utiliti ini, ia diharap dapat membawa pulangan lumayan dalam jangka panjang seterusnya memberi faedah ekonomi kepada semua pemegang taruh YaPEIM.
“Selain membudayakan amalan berjimat-cermat dan penggunaan kemudahan yang ada secara berhemah dalam kalangan warga YaPEIM sendiri, penggunaan teknologi hijau juga dipercayai mampu mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar yang disebabkan oleh aktiviti dan amalan seharian di tempat kerja,” kata Jamil Khir ketika berucap di majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara YaPEIM dan USM serta pelancaran Zon Hijau di sini baru-baru ini.
Dalam majlis menandatangani MoU tersebut, YaPEIM diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Abibullah Hj. Samsudin manakala USM oleh Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, dan disaksikan oleh Jamil Khir dan juga Presiden dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Dr. Abd. Malek Awang Kechil.
Melalui MoU tersebut, Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga (CETREE) USM akan membantu pihak YaPEIM menerapkan teknologi hijau di ibu pejabat YaPEIM dan semua 202 cawangan Ar Rahnu YaPEIM di seluruh negara bermula dengan cawangan Ar Rahnu Sungai Dua Butterworth yang telah dikenalpasti sebagai projek rintis.
Dalam pada itu, Omar berkata CETREE melalui kepakarannya dalam teknologi hijau, akan membantu dari segi pendidikan dan latihan bagi menyediakan modal insan kepada YaPEIM seterusnya memastikan berlakunya pemindahan ilmu yang akan membawa kepada amalan kelestarian.
“Budaya penjimatan tenaga harus diamalkan di semua peringkat dari peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat Kementerian demi memastikan agenda kelestarian alam menjadi amalan semua bukan sahaja untuk kepentingan kita sekarang tetapi juga kepada generasi yang akan datang.
“USM akan sentiasa memastikan bahawa ia terus relevan dengan menerokai kerjasama seperti ini dengan mana-mana pihak dari pelbagai peringkat yang memerlukan bantuan dalam penerapan amalan terbaik agar dapat memanfaatkan ilmu, memindahkan ilmu malah mengaplikasikan ilmu untuk kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia seluruhnya,” kata Omar.
Turut hadir ialah Pengarah CETREE, Profesor Dr. Haslan Abu Hassan dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Hjh Zaleha Hussin. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Badrul Munawir Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 3071