ALUMNI USM GIGIH CIPTA NAMA DALAM LAPANGAN SENI
KUALA LUMPUR, 27 Feb.2014 – Bergelar penghibur apatah lagi mencipta nama di persada seni bukanlah satu kerja mudah, ditambah pula dengan lambakan program realiti yang menawarkan populariti singkat kepada para peserta yang terlibat.
Pun begitu, dengan keazaman dan iltizam yang kukuh, seorang anak muda yang lebih popular dengan nama Arja Lee kini mula dikenali, malah terkini berjaya melancarkan single pertama bertajuk ‘Cerita Pada Mereka’ di Istana Budaya di sini semalam.
Alumni Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengkhusus dalam bidang Lakonan dan Pengarahan itu komited bermula dari bawah dan sehingga kini telah melalui pelbagai pahit getir untuk membina jenamanya dalam industri seni tanahair.
Arja Lee atau nama penuhnya Azharudin Ramli berkata, beliau sememangnya bercita-cita untuk menjadi penyanyi sejak di bangku sekolah dan pernah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian dan terpilih menjadi penyanyi utama dari sekolah sehinggalah ke USM.
Katanya, USM juga menjadi tempat baginya untuk memperbaiki segala kelemahan dan mengukuhkan pengetahuannya untuk menampilkan ciri-ciri unik untuk bergelar penghibur yang versatile.
``Di USM saya telah didedahkan dengan pelbagai pengalaman dan menjayakan pelbagai persembahan dalam majlis-majlis besar termasuk dalam dan luar negara,’’ kata anak muda ini yang diakui kenalannya sebagai seorang yang sentiasa merendah diri dan disenangi ramai.
Mengulas single terbarunya yang juga pertama kali didengarkan di Istana Budaya, Arja berkata, Cerita Pada Mereka mengisahkan perjalanan sepasang kekasih yang mencipta kenangan berdua namun tidak semestinya berakhir bersama.
``Cerita cinta ini dijadikan sebagai memori dan dikongsikan dengan teman-teman atau sesiapa sahaja, dalam erti kata lain berkongsi pengalaman romantis. Itulah sebenarnya erti dalam ‘Cerita Pada Mereka,’’ ujarnya.
Tambah beliau, harapan besar dengan terhasilnya single tersebut akan dapat menggilapkan bakatnya dalam nyanyian selain terus berusaha dan berjuang menjadi insan seni serba boleh yang unik dan beridentiti tersendiri.
Cerita Pada Mereka dicipta oleh komposer baru berbakat besar, Keroz Nazri dan susunan muzik oleh karyawan berpengalaman iaitu Alfa Booty & Team.
Dalam pada itu, populariti Arja Lee melonjak naik selepas menyertai Audition, Gangstarz, Fear Factor Selebriti Malaysia 1, drama bersiri Misiku Kuza, Ramadhan Yang Hilang dan terbaru tampil dalam Ariana Rose dengan watak sebagai Ramzul.
Arja Lee juga bergiat aktif dalam seni persembahan pentas termasuk teater dan telah menjayakan teater Kasanova di USM selain turut tampil dalam Puteri Gunung Ledang The Musical, Mahsuri, Kenagan Mengusik Jiwa 60-an, Kaki Blue Musical dan sebagainya. Teks/Foto: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1359