USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAZIF JUARA IKON VARSITI BH KATEGORI REKACIPTA

DSC 0045

PUTRAJAYA, 27 Februari 2014 – Wakil tunggal Universiti Sains Malaysia (USM) dalam pencarian Ikon Varsiti Berita Harian (BH) 2013 merangkul gelaran tersebut dengan mengalahkan dua pesaingnya, masing-masing dari Universiti Pendidikan Sultan Idiris (UPSI).

Muhammad Razif Abdul Razak, 23, terpilih menjuarai kategori Ikon Rekacipta dan membawa pulang trofi Ikon Varsity BH dan wang tunai berjumlah RM2,000 dalam pencarian Ikon Varsiti 2013 anjuran Berita Harian (BH) yang masuk edisi ke-2 penganjurannya pada tahun ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kimia) tersebut berkata, beliau amat terharu dengan kemenangan tersebut dan menyifatkannya sebagai penyuntik semangat untuk terus menimba ilmu dan membangunkan penyelidikan yang bermanfaat untuk masyarakat global.

DSC 0063

Beliau akan melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Osaka University, Jepun.

Kemenangan beliau diperoleh menerusi pencapaian penyelidikan dalam merawat air sisa yang juga memenangi pingat emas dalam pertandingan rekacipta bertaraf antarabangsa, British Invention Show 2013 yang berlangsung di London baru-baru ini.

``Kemenangan ini bukanlah kemenangan saya seorang, sebaliknya saya telah menerima pelbagai sokongan dan galakan dari pelbagai pihak termasuk rakan-rakan, para pensyarah dan semestinya ahli keluarga.

``Tentunya saya gembira dengan kemenangan ini dan berharap agar sentiasa diberi kekuatan untuk terus berkecimpung dalam dunia penyelidikan, sekaligus dapat memberi sumbangan terhadap pembangunan masyarakat dan negara,’’ ujarnya.

Beliua berkata demikian ketika ditemui sejurus menerima anugerah tersebut bersama-sama penerima yang lain dalam acara kemuncak yang diraikan dengan kahadiran Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan di Hotel Everly, di sini semalam.

Kamalanathan berkata, inisiatif yang dilaksanakan BH menerusi penganjuran program sumpama itu menepati peranan akhbar sebagai ejen perubahan minda masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar.

Katanya, media adalah satu medium yang sangat penting dalam mencorak pemikiran masyarakat dan pengiktirafan sebegitu amat signifikan dalam menarik minat pelajar untuk terbabit secara aktif dalam bidang akademik dan juga kokurikulum.

DSC 0069

``Selain media cetak, media elektronik juga perlu tampil dengan inisiatif seumpama ini, malah boleh terus menyuntik idea kreatif dalam elemen penganjuran agar terus mendapat penyertaan yang menggalakkan dari para pembaca,’’ ujar beliau.

Ikon Varsiti 2013 yang dianjurkan dengan tujuan mengiktiraf bakat pelajar institusi pengajian tinggi dalam pelbagai bidang iaitu kepimpinan,  keusahawanan, kesukarelawanan, inovasi sosial, pengantarabangsaan dan sebagainya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Badrulhisham Othman pula berkata, Anugerah Ikon Varsiti 2013 diharap dapat menonjolkan penuntut IPT yang cemerlang dalam akademik dan juga kokurikulum selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan bakal graduan yang holistik.

``Peserta dipilih berdasarkan pembabitan aktif dalam pelbagai bidang atau kokurikulum selain kecemerlangan dalam akademik. Pemilihan Ikon Varsiti ini juga diharap dapat menjadi contoh yang positif untuk generasi muda di negara ini,’’ ujar beliau.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings (PjH), Dato’ Azlan Abdul Karim dan Naib Presiden Pembangunan Organisasi Bank Rakyat, Mohd Haliemy Sapari dan sebagainya.Teks /Foto: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 975

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024