PELAJAR PPSF TERIMA BIASISWA FUJI ELECTRIC
PULAU PINANG, 28 Februari 2014 – Dua orang pelajar Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF) Universiti Sains Malaysia (USM) menerima biasiswa bernilai RM10,000.00 seorang setahun bagi tempoh dua tahun.
Biasiswa yang diberikan dalam program Fuji Electric University Scholarship Programme (FEUSP) adalah salah satu program tanggungjawab sosial Fuji Electric (Malaysia) Sdn. Bhd (FEMSB) kepada masyarakat dari segi bantuan kewangan dan juga pekerjaan.
Pelajar tersebut ialah Lim Yong Kuan dan Wong Chui Qeen masing-masing pelajar tahun dua kursus Fizik Gunaan, PPSF. Seramai 12 orang pelajar USM memohon termasuk daripada Pusat Pengajian Bahan dan Sumber Mineral, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan juga Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
Kedua-dua pelajar tersebut hari ini menerima surat tawaran biasiswa berkenaan daripada Pengarah Eksekutif, Pentadbiran Awam FEMSB, Chong Nee Hwa dan disaksikan oleh Pemangku Naib Canselor USM, Profesor Dr Adnan Hussein.
“USM dan juga FEMSB telah bekerjasama melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman sejak tahun 2008 dari segi pembangunan penyelidikan dalam bidang yang berkaitan serta membuka peluang untuk latihan industri di FEMSB,” kata Adnan.
Kriteria pemilihan pelajar adalah dari segi pencapaian akademik, penglibatan dalam bidang ko-kurikulum serta pendapatan keluarga tidak melebihi RM5000.00 sebulan. Selain itu, calon juga dikehendaki untuk menduduki peperiksaan pemilihan yang dikendalikan sepenuhnya oleh FEMSB.
“FEMSB akan terus memberikan biasiswa tersebut untuk dua orang pelajar setahun bagi tempoh tiga tahun iaitu sehingga tahun 2016 yang berjumlah RM120,000.00. Kesemua penerima biasiswa ditawarkan pekerjaan di sini dan terikat selama dua tahun dengan FEMSB,” terang Nee Hwa.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr See Ching Mey, Pengarah Bahgaian Penyelidikan dan dan Kejuruteraan FEMSB, Dr Uwazumi Hiroyuki, serta Pemangku Timbalan Dekan PPSF mewakil Dekan PPSF, Profesor Madya Dr Lim Hwee San.
“Kami berasa sangat bersyukur dengan penerimaan biasiswa tersebut dan akan berusaha untuk mengekalkan dan memperbaiki kecemerlangan dalam akademik dan juga ko-kurikulum,” kata Chui Qeen dengan penuh gembira.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: MOhd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1182