PENYELIDIK ARKEOLOGI TEMUI BATU NESAN TAHUN 1007
BANDA ACHEH, 26 Februari 2014 -Para penyelidik arkeologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universitas Syiah Kuala (UNSyiah) dan Universitas Sumatera Utara (USU) berjaya menemui bukti terbaharu kehadiran Islam di rantau ini.
Ia adalah hasil penemuan batu nesan yang ditemui di Kampung Lamreh, Aceh Besar yang mendedahkan tarikh 200 tahun lebih awal daripada Makam Malik Al-Saleh di Pasai pada kurun ke 11 Masihi.
Ketua Penyelidik yang juga Pengarah Pusat Arkeologi Global (PPAG) USM Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin berkata, penemuan ini penting dalam melihat sejarah awal Islam sehingga kini.
“Penemuan ini sangat penting dalam membetulkan sejarah awal Islam Nusantara yang bertapak lebih awal lagi berdasarkan bukti nesan ini bertarikh 1007 ini yang bertulisan (inskripsi) Arab yang dikatakan dimakamkan pada hari Jumaat 22 Safar 398 Hijrah bersamaan dengan 5 November 1007 Masehi,” kata Mokhtar lagi.
Batu nesan tersebut ditemui hasil ekskavasi Mokhtar bersama-sama bekas pelajarnya dari USU dan UNSyiah pada tahun 2009 yang pertama kali dipamerkan dalam Pameran Arkeologi Islam Asia Tenggara yang berlangsung di sini yang dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Rektor UNSyiah Profesor Dr. Ir. Samsul Rizal dan wakil Rektor USU Profesor Dr. Ningrum Natasya Sirait.
Kedua-dua penyelidik tersebut adalah Ketua Pusat Penelitian Ilmu Sosial dan Budaya UNsyiah Dr. Husaini Ibrahim dan Ketua Jurusan Sejarah USU Dr. Suprayitno MHum.
Tambah Mokhtar, penyelidikannya kini menjurus kepada usaha untuk melihat hubungan yang lebih luas dalam perkembangan tamadun Islam di rantau ini termasuk kemungkinan adanya hubung kait dengan tamadun di Semenanjung Tanah Melayu malah mungkin juga terdapat bukti-bukti yang jauh lebih lama daripada pentarikhan yang ada.
“Implikasinya amat besar kepada pensejarahan Islam rantau ini seperti mana yang selama ini dilakukan oleh pihak-pihak yang mendakwa tentang kedudukan tamadun Islam yang terbelakangan atau bersamaan dengan tamadun-tamadun lain yang ada,”kata Mokhtar.
Penyelidikan arkeologi dilakukan oleh para penyelidik USM di pelbagai negara Islam bermula tahun 2010 bermula dengan Indonesia dan Pakistan yang berfokus kepada Arkeologi Islam yang menekankan kepada aspek penyelidikan saintifik.
Aceh dan Medan Indonesia dikatakan mempunyai banyak bukti tentang arkeologi Islam yang tidak pernah dikaji sebelum ini secara multi-disiplin yang akan membolehkan penulisan semula beberapa aspek “Arkeologi Islam Nusantara” untuk menjadikannya lebih jelas.
Menurut Mokhtar, kajian masa hadapan ini akan dapat menjawab beberapa persoalan umum asal-usul Islam di rantau ini iaitu bila? di mana pintu masuknya?, siapa yang membawanya? dan datang daripada mana?.
Penandatangani MoA dengan USU dan UNSyiah dalam kajian “Arkeologi Islam” membolehkan penyelidikan yang lebih tersusun dan mantap di samping membantu Indonesia menghasilkan modal insan berkualiti dalam bidang arkeologi Islam.Teks/Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1120