USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CADANG TUBUH PUSAT KOLABORASI DI ACEH

280214

BANDA ACEH, 27 Februari 2014- Dalam usaha memberikan impak kepada kerjasama yang dijalin dengan Universitas Syiah Kuala (Unsyiah) dan institusi pengajian yang terdapat di sekitar Aceh Indonesia, Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat untuk menubuhkan Pusat Kolaborasi di sini yang dicadang  diuruskan oleh alumni USM. 

Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman memberikan cadangan sedemikian ketika mengadakan pertemuan dengan bekas pelajar USM yang sebahagian besarnya bertugas sebagai pensyarah di beberapa buah universiti di sini terutamanya Unsyiah. 

"Pusat ini nantinya boleh menjadi mekanisme untuk menyelaraskan apa jua aktiviti yang dijalankan di sini termasuklah dalam usaha pembangunan pelajar, kerjasama akademik, latihan dan kursus-kursus pendek, penyelidikan, keusahawanan pelajar, kerjasama dalam kemudahan infrastruktur termasuk perpustakaan dan pelbagai lagi," kata Omar. 

Dalam perjumpaan tersebut, Naib Canselor menjelaskan tentang perkembangan USM termasuk diiktiraf antara yang terbaik dalam bidang Sains Persekitaran serta antara 100 terbaik dalam beberapa bidang lain seperti Sains Komputer dan Kejuruteraan di samping kejayaan para pensyarahnya dalam penghasilan penerbitan ilmiah mahu pun penyelidikan. 

"Namun yang lebih penting ialah untuk memastikan universiti sentiasa relevan dengan keperluan masyarakat dan negara serta bagaimana universiti akan terus menjadi medan untuk percambahan ilmu yang dapat dimanfaatkan dengan sebaik yang mungkin," tambahnya lagi. 

Dalam pertemuan dengan beberapa orang pelajar Unsyiah yang terlibat dalam aktiviti keusahawanan, Naib Canselor meminta agar mereka lebih kreatif dan inovatif dalam melakukan aktiviti keusahawanan yang dapat memberikan pendapatan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh. 

280214-2

Mengambil contoh apa yang diusahakan di USM, Omar menggesa agar mahasiswa akan melihat produk perniagaan dari sudut ilmu dan kemahiran yang dipelajari misalnya bagaimana seorang pelajar biologi, teknologi makanan dan perniagaan dapat bersama-sama menggembleng idea untuk mencapai kejayaan.

 “Pelajar yang terlibat dalam keusahawanan seharusnya bijak membahagikan masa untuk tujuan akademik dan keusahawanan agar saling melengkapi dan diperkukuhkan untuk mencapai kejayaan yang seiring,” kata Omar. 

Naib Canselor USM itu berada di Aceh dalam kunjungan tiga hari untuk mengukuhkan hubungan dengan Unsyiah dan Universitas Islam Negeri Aceh serta mengadakan beberapa pertemuan dengan alumni USM. Teks dan Foto : Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 850

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024