USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ALUMNI ACEH KENANG SUMBANGAN USM SEMASA TSUNAMI

010314-1

BANDA ACEH, 25 Februari 2014 - Kejadian bencana tsunami yang mengorbankan lebih 230,000 nyawa dengan begitu ramai warga Aceh yang terkorban pada Disember 2004 masih kuat diingatan ramai orang, apatah lagi bagi mereka yang telah kehilangan sebahagian besar ahli keluarganya dalam bencana tersebut.

“Kami amat berterima kasih kerana waktu itu, USM merupakan di antara yang banyak membantu apatah lagi dalam kalangan mereka yang ketika itu masih mengikuti pengajian,” kata seorang alumni USM dalam perjumpaan dengan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman di sini. 

“Sukar untuk kami lupakan bagaimana kami diberikan pengecualian yuran pengajian dan pelbagai lagi bantuan pada masa tersebut,” tambah seorang alumni yang lain. 

Terdapat alumni USM dalam kalangan pensyarah Unsyiah yang kehilangan sebahagian besar ahli keluarganya dalam tragedi tersebut. 

“Pada masa yang sama, kami berharap hubungan USM dengan alumninya yang lebih 500 orang di seluruh Aceh ini dapat diperkukuhkan terutamanya dengan universiti-universiti di sini seperti Universitas Syiah Kuala (Unsyiah) dan Universitas Islam Negeri Ar-Raniry (UIN Ar-Raniry) termasuk membantu dari kemudahan perpustakaan,”tambah seorang alumni USM yang bertugas di Unsyiah. 

Menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh mereka yang hadir, Omar berkata, USM akan mengukuhkan lagi kedudukan alumni yang ada dan berharap agar Persatuan Alumni USM Aceh akan diperkukuhkan dan menjadi wakil USM di sini kelak. 

010314-2

“Kita ingin menjadikan ia lebih formal dan mengumpulkan seramai mungkin alumni USM di Aceh untuk bersatu dan melakukan apa jua usaha untuk bersama-sama USM dan institusi pengajian di sini serta mereka yang berada dalam pelbagai institusi lain untuk terus menghayati semangat sayangkan USM dan membanggakan universiti dengan kecemerlangan mereka,” kata Omar. 

Naib Canselor USM itu juga berharap agar alumni USM di Aceh akan kembali di dalam masyarakat sebagai tokoh ilmuan dan anggota masyarakat yang memainkan peranan aktif dalam pembangunan masyarakat setempat mahu pun antarabangsa.

 Lebih 40 orang alumni USM sekitar Banda Aceh menghadiri perjumpaan ini. Turut hadir sama ialah Rektor UIN Ar-Raniry Profesor Dr. H. Farid Wajdi Ibrahim, alumni USM dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan di samping beberapa orang pensyarah Unsyiah dan mereka yang berada dalam sektor swasta. Teks dan Foto: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 941

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024