USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TANDATANGANI MoA/MoU DENGAN UNSYIAH DAN USU

290214-1

BANDA ACEH, 26 Februari 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini memperbaharui persefahaman dengan Universitas Syiah Kuala (Unsyiah) dan Universitas Sumatera Utara (USU) di samping mengadakan perjanjian persefahaman baharu untuk bekerjasama dengan Unsyiah dalam penyelidikan arkeologi. 

Berucap di majlis tersebut,  Rektor Unsyiah Profesor Dr. Ir. Samsul Rizal berkata, kerjasama Unsyiah dengan USM telah lama berlangsung apatah lagi banyak bantuan yang dihulurkan semasa berlakunya tsunami hampir 10 tahun lalu. 

“USM bukan sahaja sentiasa diingati kerana banyak membantu semasa tragedi tsunami tetapi juga melalui kerjasama akademik dan penyelidikan yang dijalankan di antara para pensyarah di kedua-dua buah universiti di samping terdapat ramai alumni USM yang kini berkhidmat di sini, apatah lagi dengan terdapat  pertukaran mahasiswa dan pensyarah di kedua-dua buah institusi,” kata Samsul Rizal. 

Tambahnya lagi, Unsyiah berhasrat memperkasakan lagi kerjasama yang ada dengan mengadakan kerjasama yang erat dalam bidang arkeologi malah juga bidang-bidang lain yang USM mempunyai kekuatan termasuk dalam usaha meningkatkan kedudukan penerbitan ilmiah. 

290214-2

Sementara itu wakil Rektor USU, Profesor Dr. Ningrum Natasya Sirait berkata, adalah diharapkan kerjasama lebih luas dapat dilakukan yang melibatkan kekuatan akademik bersama untuk membawa universiti-universiti di Aceh mahu pun Sumatera untuk mencapai kedudukan yang lebih tinggi dalam kalangan ahli akademik dunia. 

“Justeru kerjasama yang ada ini wajar ditingkatkan secara berterusan untuk memberikan kesan yang lebih besar kepada universiti-universiti yang terlibat,” katanya lagi. 

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menyambut baik hasrat tersebut dan berjanji akan menelitinya dengan lebih terperinci tentang kaedah terbaik untuk memberikan impak yang lebih besar terhadap kerjasama yang dijalin. 

“Hubungan yang ada melebihi daripada sekadar usaha penyelidikan, malah juga dapat dilakukan melalui penawaran pengajian secara bersama-sama, penyelia bersama dan membangunkan kepakaran bersama-sama dalam satu kolaborasi yang tulen untuk faedah masyarakat nusantara seperti mana yang terhasil melalui pengajian arkeologi yang telah menghasilkan dua orang yang bakat besar pada peringkat ijazah tinggi dari Unsyiah dan USU,” tambah Omar.

Beliau juga berharap kolaborasi seperti ini yang melibatkan bidang seperti Sains dan Teknologi, Sejarah serta  Sains Sosial dan Warisan dapat membantu dalam penemuan-penemuan baharu yang signifikan dan kelestarian budaya warisan di samping pengukuhan dalam bidang-bidang Sains dan Teknologi. 

Hadir sama menyaksikan penandatanganan persefahaman tersebut ialah Pengarah Pusat Arkeologi Global USM Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin dan Ketua Pusat Penelitian Ilmu Sosial dan Budaya Unsyiah Dr. Hussaini Ibrahim dan Ketua Bidang Sejarah USU Dr. Suprayitno MHum. Teks dan foto: Mohamad Abdullah 

 

  • Created on .
  • Hits: 998

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024