USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLABORASI USM-YAHIJAU PERLUAS PROJEK TEKNOLOGI HIJAU

020301-a

KOTA KINABALU, 3 MAC 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi institusi pertama pilihan Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) memeterai Memorandum Persefahaman kedua pihak bagi menjalinkan kerjasama memperhebat projek Teknologi Hijau di negara ini.

Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), telah dilancarkan oleh Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Panglima Muhyiddin Mohd Yassin, bakal bersama-sama USM merencana pelbagai projek kelestarian alam sekitar untuk kesedaran rakyat Malaysia.

Majlis pelancaran YaHijau sempena Karnival YaHijau Sabah turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Y.A.B. Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Y.A.B. Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan dan Y.B. Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Pada majlis itu, USM yang diwakili oleh Prof. Dato’ Dr. See Ching Mey, Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat berkata, jalinan kerjasama strategik ini membolehkan program pendidikan, kesedaran alam sekitar serta sesi jangka luar (outreach) berkaitan amalan teknologi hijau dapat diperluaskan sebaik mungkin pada masyarakat amnya golongan belia.

“Saya berharap dengan program yang bakal dilaksanakan, ia dapat meningkatkan kefahaman, pendedahan dan penghargaan serta minat dalam gaya hidup hijau, khususnya di kalangan pelajar sekolah, universiti dan masyarakat dari akar umbi” kata beliau selepas majlis pelancaran tersebut di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu Sabah.

Tambah beliau, USM sentiasa bersedia berkongsi kepakaran dengan mana-mana pihak yang berminat untuk mengadakan program teknologi hijau demi memupuk kesedaran betapa pentingnya penjagaan alam sekitar dari kita.

020301-b

Selain itu, Prof. Dr. Haslan Abu Hassan, Pengarah, Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) berkata, melalui memorandum persefahaman yang ditandatangani, USM dan YaHijau akan mengorak langkah memulakan sumber ilmu yang dimiliki CETREE ke sekolah-sekolah memberi didikan kesedaran teknologi hijau kepada pelajar dan guru.

“Kini kita sudah mempunyai platform kukuh bagi memindahkan ilmu teknologi hijau yang ada di CETREE yang merangkumi tenaga, pengangkutan,bangunan, pengurusan air dan sisa pepejal ICT dan industri pembuatan termasuk perhutanan dan pertanian untuk kumpulan sasar”

Tambah beliau lagi, CETREE akan berganding bahu bersama YaHijau membina modul bersesuaian yang mengandungi pengajaran dan pembelajaran termsuk aktiviti Ko-Kurikulum yang berkaitan di sekolah.

“Atas sebab itu hari ni kita juga memeterai Memorandum Persefahaman bersama Kementerian Pendidikan Malaysia membolehkan guru-guru yang dipilih Kementerian Pendidikan Malaysia dilatih oleh USM menguasai ilmu teknologi hijau seterusnya menjadi jurulatih utama”

Haslan berkata dengan peruntukan sebanyak RM6 juta yang diberikan kepada YaHijau, diharapkan sebahagiannya dapat digunakan untuk pembangunan ilmu teknologi hijau di sekolah-sekolah.

030201-c

“CETREE USM berpengalaman lebih 14 tahun dalam melaksanakan program sebegini, dan Pusat Sains Negara merupakan rakan yang banyak membantu USM melalui kepakaran mereka, atas sebab itu USM dipilih oleh KeTTHA untuk menerajui bersama YaHijau dalam Pembangunan aspek tersebut”.

Di samping itu, Program Outreach Kem Teknologi Hijau juga telah diadakan pada 27 Februari – 2 Mac 2014 yang disertai oleh 100 pelajar tingkatan 1 dan 2 dari 10 buah sekolah sekitar Kota Marudu dan Kota Kinabalu bertempat di Asrama Sains Kinabalu, Kompleks Sukan Likas, Likas, Sabah.

Program anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dengan kerjasama Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) dan Pusat Sains Negara dengan Tema Go Green dirangka sebagai satu aliran penyampaian teknologi hijau melalui kaedah “belajar sambil bermain’.

DSC 0430

Kem ini turut menerapkan experiential learning kepada pelajar iaitu menekankan pentingnya proses pembelajaran disalurkan menerusi sesi perbincangan, pembentangan, soal jawab, kerja kumpulan dan membuat rumusan. Teks/Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1530

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024