SAMBUTAN AMAL TAHUN BARU CINA BUKTI PERPADUAN KAUM
PULAU PINANG, 3 Mac 2014 – Sambutan Amal Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh Sekreteriat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua, Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini sekali lagi membuktikan masyarakat berbilang kaum di negara ini mampu hidup bersatu padu dan aman damai.
Menurut Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak, persefahaman yang sekian lama wujud yang telah dipupuk sejak kecil, wajar dikekalkan demi memastikan keamanan negara terus berada dalam keadaan terbaik.
'Saya melihat perbezaan budaya bukan lagi satu jurang bagi kita mengenali antara satu sama lain, bahkan ia boleh dijadikan kelebihan dalam menambahkan pengetahuan am untuk setiap lapisan masyarakat di Malaysia,'katanya berucap mewakili Naib Canselor merasmikan majlis yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, USM.
Menurut Zainal Ariffin lagi, ditambah dengan tahun kuda yang disambut dalam kalendar Cina, diharapkan dapat memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar USM untuk menjadi lebih hebat, berpengetahuan tinggi sekaligus memacu negara kearah negara yang lebih maju pada masa depan.
'Walaupun kita mengetahui umumnya kuda merupakan haiwan yang lemah lembut, tetapi harus diingat kuda juga merupakan seekor haiwan yang tabah dan tidak mudah mengalah dalam menghadapi segala cabaran.'
'Oleh demikian, mahasiswa-mahasiswi perlu sentiasa berusaha, bekerja keras, melahirkan idea-idea kreatif agar kedudukan sebagai pelajar USM sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat luar sana,' ujarnya.
Tambah Zainal Ariffin, dalam masa yang sama, bagi memastikan cita-cita tersebut tercapai, jangan sesekali terlintas niat menjatuhkan pihak lain kerana itu akan merugikan semua pihak dan merosakkan perpaduan yang telah lama bersemi.
Sementara itu, bagi pengarah projek, Andy Loh Kean Kwan berkata, sambutan kali ini dirasakan amat istimewa kerana selain dapat beramah mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat, pihak penganjur juga berpeluang membantu golongan yang memerlukan bantuan.
'Pihak kami amat prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik ini, dan akan mendermakan sedikit wang tunai serta barang keperluan harian kepada The Salvation Army Children's Home dan Fo Yi Dialysis Centre.'
'Diharapkan dengan bantuan yang tidak seberapa ini, dapat meringankan beban mereka yang memerlukan dan kami akan terus berusaha untuk menyumbang bakti kepada masyarakat setempat, walau di mana kami berada nanti.'
Pengarah Sektor Pembangunan Pelajar, Dr. Nazarudin Zainon dan Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Syed Yusof Syed Kechik adalah antara tetamu kenamaan yang turut hadir dalam majlis tersebut. Teks : Mohamad Danial Shahri / Foto : Yong Check Yoon
- Created on .
- Hits: 1318