EKSTRAK KACIP FATIMAH BANTU TURUN BERAT BADAN
PULAU PINANG, 2 Februari 2014 – Jika kacip Fatimah sebelum ini lebih sinonim dengan khasiatnya yang membantu memberikan tenaga kepada penggunanya, kini manfaat herba itu turut dibuktikan berupaya menurunkan berat badan seseorang.
Sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM) menghasilkan inovasi unik ekstrak formulasi nano terpiawai daripada herba kacip fatimah yang menunjukkan potensinya dalam merencat penghasilan lemak dalam badan.
Menurut ketua penyelidik produk yang dikenali sebagai Labeesity itu, Profesor Zhari Ismail, produk tersebut diformulasikan bagi membantu proses pengawalan berat badan melalui fungsinya dalam mengekang pengumpulan lemak dalam badan.
Katanya, berdasarkan kajian perbandingan dengan produk sedia ada dalam pasaran, Labeesity juga bertindak lebih efisien termasuk membantu mengawal selera makan seseorang, mempunyai kesan perlindungan terhadap penyakit hati berlemak dan sebagainya.
``Labeesity dihasilkan dalam bentuk kapsul dengan menggunakan ekstrak kacip Fatimah 100 peratus. Walaupun bahan asasnya adalah herba yang sinonim dengan kaum wanita namun golongan lelaki juga boleh mengambilnya untuk menjaga kesejahteraan tubuh badan,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas bagi memperincikan produk emas itu yang dipengerusikan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman di sini baru-baru ini. Turut hadir ialah Dekan PPSF, Profesor Munavvar Zubaid Abdul Sattar dan pasukan penyelidik PPSF.
Tambah Zhari, Labeesity turut melalui pemiawaian secara kualitatif dan kuantitatif selain menepati pemiawaian pembangunan ubat-ubatan herba yang konsisten dari aspek biologi dan profil kimia serta kawalan kualiti dalam pengeluaran dan pembuatan.
``Labeesity juga selamat untuk digunakan sebagai suplemen dan ia telah diproses mengikut garis panduan yang terdapat dalam Malaysian Standard bagi memastikan keselamatan, keberkesanan dan kualiti ubat-ubatan herba.
Dalam pada itu, Omar pula berkata, masalah obesiti adalah masalah kesihatan yang menghantui pelbagai lapisan masyarakat termasuk lelaki, wanita, kanak-kanak dan sebagainya. Ia juga adalah masalah kesihatan global.
``USM sentiasa komited dalam membangunkan pelbagai produk penyelidikan yang dapat membantu dalam mensejahterakan kehidupan masyarakat, sekaligus memberi satu wadah dalam pemindahan ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh dunia,’’ ujar beliau.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 3215