USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC LANCAR INISIATIF USM@DOHA

040314-1a

DOHA, QATAR, 2 Mac 2014 - Dalam usaha memantapkan peranannya sebagai sebuah pusat pengajian tinggi yang bertaraf antarabangsa, Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif menubuhkan sebuah pusat perkhidmatan setempat (one stop centre) di Qatar yang dikenali sebagai USM@DOHA.

Penubuhan pusat ini yang bertujuan untuk menyokong agenda pengantarabangsaan USM di kawasan Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) akan berperanan membantu mempromosi program-program yang ditawarkan oleh USM khususnya di rantau tersebut.

Penubuhan pusat seumpama itu juga menjadikan USM sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di Malaysia yang mempunyai wakil tetap di kawasan Timur Tengah untuk tujuan bantuan dan khidmat sokongan.

030314-18

Pelancaran USM@DOHA telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman di Doha, Qatar hari ini. Pada majlis itu juga USM telah menandatangani perjanjian kerjasama (collaboration agreement) strategik dengan sebuah organisasi di Qatar yang bertanggungjawab menguruskan USM@DOHA yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Tameur Nachef, yang juga merupakan alumni USM.

Menurut Omar, pada peringkat awal USM@DOHA akan menumpukan kerjasama dengan Pusat Inovasi dan Produktiviti Perkhidmatan Awam (PIPPA) USM dalam penganjuran program latihan yang akan ditawarkan kepada kakitangan awam di Malaysia dan juga negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara.

“Kita akan bermula dengan penawaran kursus-kursus pendek atau perundingan yang disasarkan kepada staf pengurusan dan bukan akademik, dan kerjasama ini kemudiannya akan ditingkatkan kepada penawaran program akademik dan penyelidikan,” kata Omar.

040314-2

Pada sebelah pagi hari yang sama Naib Canselor mengetuai delegasi USM mengadakan perbincangan dengan pihak Qatar Foundation untuk meninjau peluang kerjasama terutamanya dalam bidang penyelidikan dan program akademik.

Dalam sesi perbincangan tersebut, Qatar Foundation diwakili oleh Pengarah Eksekutif Pendidikan, Latihan dan Pembangunan, dan Penyelidikan dan Pembangunan, Dr. Wyatt Roderick Hume dan juga Dekan Kolej Sains, Kejuruteraan dan Teknologi, Dr. Mounir Hamdi. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM Profesor Dr. Muhamad Jantan, Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer USM Profesor Dr. Ahamad Tajudin Khader, dan Pengarah PIPPA Dr. Musa Ali. - Foto: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 953

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024