USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN QATAR UNIVERSITY METERAI PERJANJIAN DALAM BIDANG PEMBANGUNAN MODAL INSAN

P3030106

DOHA, QATAR, 3 Mac 2014 - Kejayaan sesebuah universiti banyak bergantung kepada modal insan yang mempunyai ilmu dan berkemahiran tinggi dan di samping memiliki sikap yang sesuai dengan perubahan persekitaran.

Menyedari hakikat ini, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Inovasi dan Produktiviti Pertadbiran Awam (PIPPA) telah mengorak langkah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan pihak Qatar University.

Melalui perjanjian ini, USM dan Qatar University akan bekerjasama dalam aspek penawaran program latihan dan pembangunan kepada staf bukan akademik dan profesional di kedua-dua organisasi berkenaan.

Perjanjian itu juga membolehkan kedua-dua pihak berkongsi kepakaran bidang masing-masing yang bukan sahaja untuk kepentingan universiti masing-masing tetapi juga sumbangan kepada agenda pengajian tinggi Malaysia dan Qatar secara ammya.

P3030112

Perjanjian persefahaman itu telah ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan Presiden Qatar University, Profesor Sheikha Abdulla Al-Misnad. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM Profesor Dr. Muhamad Jantan, Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer USM Profesor Dr. Ahamad Tajudin Khader, Pengarah PIPPA Dr. Musa Ali, Naib Presiden (Akademik) Qatar University Dr. Mazen Hasna serta pengawai-pegawai utama Qatar University.

Sheikha Abdulla dalam ucapannya menyatakan USM telah banyak membantu Qatar University terutamanya dalam bidang akademik kerana terdapat ramai alumni USM sekarang berkhidmat sebagai tenaga akademik di universiti berkenaan.

“Saya amat berterima kasih kepada USM kerana telah melahirkan ramai graduan ijazah tinggi berkualiti tinggi yang kini menyumbang kepakaran mereka di dalam bidang pengajaran dan penyelidikan di universiti ini, misalnya di College of Pharmacy sahaja terdapat beberapa tenaga akademik muda yang merupakan alumni USM,” kata Sheikha Abdulla.

P3030113

 

Beliau turut memberi komitmen pengurusan universiti dalam menjayakan kerjasama strategik yang dipersetujui dalam perjanjian tersebut.

Manakala Omar turut menyatakan terima kasih kepada Qatar University dan bersedia untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang lain seperti pertukaran pelajar, staf akademik dan juga penyelidikan.

“Kerjasama ini juga dilihat sebagai satu usaha USM untuk melebarkan kerjasama peringkat antarabangsa serta memposisikan kedudukannya dengan mencari rakan strategik baru bagi pembangunan akademik dan penyelidikan khususnya di Qatar dan kawasan Timur Tengah,” kata Omar.

P3030121

foto6

 

Omar turut menjemput Presiden University Qatar serta pengurusan tingginya untuk mengadakan lawatan balas ke kampus USM pada tahun ini untuk melihat dengan sendirinya pencapaian USM sebagai Universiti APEX yang pertama di Malaysia.

foto8

foto90

foto7

Qatar University yang ditubuhkan pada 1973 merupakan universiti kebangsaan yang pertama di Qatar, kini mempunyai lebih 8,000 pelajar pra-siswazah dan siswazah yang mengikut pengajian di 7 Kolej, iaitu Sastera dan Sains; Perniagaan dan Ekonomi; Pendidikan; Kejuruteraan; Undang-undang; Farmasi; serta Syariah dan Pengajian Islam. - Foto: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1100

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024