USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GOLONGAN BELIA DI MALAYSIA BERTUAH

040314-26

PULAU PINANG, 4 Mac 2014 – Golongan belia di Malaysia disifatkan antara yang paling bertuah kerana memiliki banyak kelebihan berbanding golongan sama di negara sedang membangun yang lain.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaludin, antara kelebihan ketara yang dapat disaksikan ialah golongan belia mewakili ¾ daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia yang hampir mencecah 30 juta penduduk ketika ini.

'Itu antara faktor kenapa golongan belia perlu diberi perhatian dalam memastikan pembangunan negara seiring dengan kemajuan yang ingin kita kecapi,' kata beliau ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama mahasiswa di Dewan Pembangunan Siswa, Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Ujarnya, Malaysia akan menjadi sebuah negara contoh pada masa akan datang jika golongan belia lebih produktif dan tidak memilih pekerjaan selepas tamat pembelajaran mereka di universiti.

'Tidak kira berkelulusan dalam apa jua bidang, seharusnya kita perlu cuba meneroka bidang baru selepas tamat pengajian, bagi membuktikan keupayaan diri dalam menghadapi cabaran globalisasi yang semakin mencabar sekarang.'

Namun kata beliau, itu bukanlah bermaksud melupakan cita-cita yang telah ditanam sejak di bangku sekolah, tetapi dalam memastikan ekonomi negara terus kukuh, golongan belia patut bijak mencari inisiatif tersendiri bagi memastikan potensi diri dapat diketengahkan dengan lebih cemerlang.

'Jika kita lihat di negara membangun seperti Greece dan Sepanyol, kadar pengangguran belia mencapai hampir 40% kerana peluang pekerjaan yang terhad, tetapi di Malaysia, hanya 3% sahaja.'

'Disamping itu, kerajaan juga sedang berusaha mewujudkan hampir 3.3 juta peluang pekerjaan baru menjelang tahun 2020 nanti.'

040314-16

Tambah beliau lagi, bagi golongan yang tidak berpeluang menjejakkan kaki ke menara gading, ia tidak harus dijadikan sebab kenapa mereka tidak boleh maju dan berjaya.

'Di German misalnya, 62% peratus pekerjanya kini adalah dari golongan yang memilih aliran vokasional semasa zaman persekolahannya, dan atas sebab itu mereka mempunyai kelebihan dalam bidang teknikal dan pembuatan.'

'Kita juga boleh mengambil langkah sama jika dari awal kita menggali dan mengenali potensi diri sendiri yang sebenarnya ada satu kelebihan yang tidak dimiliki individu yang lain.'

Katanya, kini sudah tiba masanya golongan belia di Malaysia mencipta sesuatu yang baharu, bukannya hanya sekadar menjadi pengikut atau penggemar sahaja.

'Sebagai contoh, cuba fikirkan inovasi tentang penciptaan gajet misalnya, dari kita hanya seronok untuk mencuba aplikasi baru yang dicipta oleh orang lain dari negara luar.'

Ketika ditanya tentang pelan pembangunan dan hala tuju Kementerian Belia & Sukan dalam melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia, Khairy menegaskan pelbagai usaha dan perancangan telah dilaksanakan dalam memastikan atlet negara mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

'Kemudahan prasarana sukan telah kita tingkatkan, latihan-latihan bersesuaian di dalam dan luar negara juga telah kita aturkan, namun semuanya bergantung kepada kesungguhan individu itu sendiri.'

'Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David adalah antara individu yang telah membuktikan bahawa kerja keras, kemahuan, disiplin tinggi serta pengurusan masa dan tenaga yang bijak adalah faktor penyumbang kejayaan seseorang.'

040314-36

'Tidak mustahil, satu hari nanti Malaysia akan mampu melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia dalam pelbagai lapangan sukan.'

Dalam majlis yang sama, Khairy turut merasmikan program 'Wheels For All' hasil inisiatif oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama-sama Pusat Sukan USM serta menyampaikan Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar-pelajar terpilih.

Menurut Yang DiPertua MPP USM, Shafiq Kamarudin, ini merupakan kali pertama MPP USM menganjurkan aktiviti berbasikal sehingga ke Prince of Songkhla University (PSU), Thailand.

'Kayuhan ini akan melibatkan hampir 30 mahasiswa yang akan bermula dari 1 hingga 3 Mei 2014 nanti,' katanya sambil menambah, sepanjang program berlangsung mereka juga akan singgah di beberapa daerah bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

DSC 4403

'Diharapkan, program seumpama ini akan lebih mampu membuka minda mahasiswa bahawa bersukan merupakan antara elemen penting dalam menjaga kesihatan diri, seiring dengan motto badan cergas, minda cerdas.'

Majlis yang berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 500 mahasiswa ini turut dihadiri pemangku Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapha Kamal serta beberapa pegawai utama Universiti.  Teks : Mohamad Danial Shahri / Foto : Yong Check Yoon

  • Created on .
  • Hits: 1428

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024