USM BANTU KELOLA PROGRAM JOM CARI KEDAH TUA
KEDAH, 2 Mac 2014 – Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) membantu kelola bersama-sama Sekretariat Penyelidikan Tamadun Awal Kedah Tua (SPTAKT) Program Jom Cari Kedah Tua bagi membuka peluang kepada media perdana untuk sama-sama ekskavasi tapak arkeologi Sungai Batu, Daerah Merbok, Kedah.
“Bulan Februari 2014, genap lima tahun PPAG menjalankan penyelidikan eskavasi tapak di Sungai Batu dan telah membuka 46 tapak dengan bantuan dana daripada USM dan juga pelbagai pihak lain. Bersempena dengan program ini, semua media telah diberi peluang untuk membuka tapak yang ke-47, iaitu tapak baru,” terang Pengarah PPAG Profesor Datuk Dr Mohd Mokhtar Saidin.
Menurut Mohd Mokhtar lagi, terdapat 97 tapak yang telah dikenalpasti oleh ahli Geofizik mempunyai monumen dibawahnya dan 50 tapak lagi akan dibuka secara berperingkat meliputi kawasan seluas empat kilometer persegi sehingga ke kawasan Gunung Jerai.
“Program dua hari ini sangat bermakna kepada setiap peserta kerana apa yang telah dieskavasi pada hari ini dan apa yang dijumpai adalah sejarah setiap tapak tersebut dan peserta itu menjadi orang pertama yang menyelongkar sejarah purba di tapak berkenaan.
Program ini juga bertujuan untuk para media merasai pengalaman ekskavasi tapak serta membuat liputan secara menyeluruh mengenai tapak tersebut yang dibuktikan adalah kawasan perindustrian peleburan besi pada tahun 384 sebelum Masihi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, SPTAKT, Mohd Tarmizi Wahab program ini tercetus apabila berlakunya kerosakan di tapak Ritual 11 iaitu di Lembah Bujang dan ianya menjadi isu di seluruh negara malahan dunia.
“Oleh yang demikian, kami seramai 13 orang sukarelawan dengan bantuan dana kerajaan negeri kedah merancang program tersebut bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat dan juga media tentang kepentingan tapak ini dalam bidang arkeologi di dalam negara dan juga dunia,” tambah Mohd Tarmizi..
Program ini telah diikuti oleh lebih 109 peserta yang terdiri daripada media, 11 orang ahli Program Pemindahan Ilmu yang terdiri daripada anak tempatan Sungai Batu, para pelajar USM dan Universiti Teknologi MARA. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1154