USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGALAMAN LAKUKAN EKSKAVASI ARKEOLOGI

050314-2

SUNGAI PETANI,  4 Mac 2014 – Pengalaman julung kali di  berada di tapak ekskavasi arkeologi Sg. Batu adalah satu pengalaman yang sukar dilupai. Masakan tidak, peserta kebanyakannya sedar bahawa bukan mudah untuk melakukan kerja-kerja ekskavasi tapak arkeologi yang nyatanya memerlukan tumpuan, minat dan ilmu pengetahuan untuk sentiasa berhati-hati dalam mengendalikan bukti sejarah yang ditemui, diteliti, dibersihkan dan diterokai.

Apatah lagi untuk memastikan bukti penemuan tidak rosak dan mengganggu dalam mendapatkan bahan asli yang dapat menjadi bukti dalam sesuatu kajian arkeologi. Jika selama ini pengalaman sedemikian hanya ditonton dalam filem-filem Hollywood seperti Indiana Jones tetapi baru-baru ini para pengamal media turut melalui pengalaman yang sama.

Kira-kira 60 pengamal media dari pelbagai organisasi media bercetak, elektronik, media baharu dan sebagainya merasai pengalaman mengujakan apabila diberi peluang menjalankan aktiviti ekskavasi di tapak arkeologi Sungai Batu, sempena program Jom Cari Kedah Tua di sini baru-baru ini.

060314-8

Pengamal media diberi keistimewaan untuk membuka tapak ke-47 di lokasi bersejarah yang menemukan tamadun awal Kedah Tua pada abad ke-5 sebelum Masihi, yang menjadi penemuan penting oleh penyelidik Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM).

Penyelidikan yang diketuai oleh Pengarah PPAG, Profesor Dato’ Dr. Mohd Mokhtar Saidin itu juga memberi bukti kukuh wujudnya satu tamadun yang unggul di situ berdasarkan bukti aktiviti peleburan besi yang ditemui, selain kompleks jeti yang menandakan adanya aktiviti perdagangan.

Menurut Mohd Mokhtar, paling penting pihaknya telah berjaya melengkapkan penemuan monumen yang ditakrifkan sebagai pusat penyembahan masyarakat di situ yang dipercayai mengamalkan agama animisme iaitu bertuhankan kepada alam semulajadi.

``Kita mahu setiap daripada lapisan masyarakat memahami dan menghargai penemuan penting yang menjadi sejarah negara dan menggambarkan keadaan di sini suatu ketika dulu. Ia juga turut menjadi simbol keagungan masyarakat di negara ini satu ketika dulu.

``Sememangnya tamadun tersebut jauh lebih maju dari yang disangka dan penemuan-penemuan ini menjadi pelengkap dan penambahbaikan kepada sejarah sedia ada,’’ katanya ketika mengetuai aktiviti ekskavasi di Tapak Sungai Batu tersebut.

Mohd Mokhtar turut berada di tapak ekskavasi pada setiap masa dan memberi penerangan dari semasa ke semasa berhubung penemuan di setiap tapak yang telah siap dikaji, selain turut memantau kegiatan ekskavasi di tapak ke-47 bagi memelihara bukti-bukti yang mungkin ditemui.

Ada di antara pengamal media juga turut menemui bukti seperti bijih besi, arang, serpihan atap genting dan sebagainya di tapak tersebut dan semua bukti-bukti tersebut telah diambil secara sistematik untuk tujuan kajian lanjutan dan analisis makmal.

030314-21

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuk cari gali secara sistematik di tapak yang telah digridkan dengan menggunakan bahan-bahan khas termsuk berus cat, trowel (kulir), penyeduk, pita pengukur, pemecah ais dan stik bambu.

Pihak media dan peserta lain termasuk sekumpulan pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut didedahkan dengan proses menjalankan kajian termasuk teknik ayakan iaitu tanah yang diekskavasi  diayak terlebih dahulu untuk mendapatkan artifak.

Teknik lain yang turut dipelajari adalah apungan-kaedah ekskavasi dalam air untuk mendapatkan sisa tumbuhan, cengkerang, sisa tulang bersaiz kecil, sisa serangga dan sebagainya yang terperangkap di dalam tanah atau sedimen. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2810

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024