USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DIPERTANGGUNGJAWAB KEKALKAN NOSTALGIA RUMAH BATU DEPAN SEKOLAH

060314-1

PULAU PINANG, 5 Mac 2014 – Pro Canselor merangkap alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Mustafa Mansur bermurah hati dan bersetuju menyerahkan sebuah rumah tinggalan keluarga untuk dijadikan sebagai galeri arkeologi dan pusat penyelidikan USM di Beruas, Perak.

Rumah yang dibina pada tahun 30-an itu menjadi tempat berkumpul Pro Canselor dan ahli keluarga sebelah bapanya yang terdiri dari 16 adik-beradik dan pada satu-satu ketika dihuni oleh lebih 100 ahli keluarga khususnya di musim perayaan.

Menurut beliau, rumah yang sinonim dengan penduduk kampung sebagai ‘rumah batu depan sekolah’ itu dibeli oleh nenek beliau, Allayarhamah Hajah Halimah Hj. Zain yang dahulunya ialah ahli perniagaan berlian dan batu permata.

Katanya, rumah tersebut menyimpan pelbagai kenagan suka duka keluarga bapanya, Mansur Abdul Wahid dan dipercayai menjadi antara rumah tertua yang wujud di Kampung Jalan Parit (Belukar Sambang) tersebut.

``Nostalgia ini perlu dikekalkan dan atas dasar itulah saya ingin sekali menyumbangkan tinggalan keluarga ini untuk dijadikan satu tempat yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak, termasuk lokasi pameran warisan sejarah tempat ini dan sebagainya.

060314-2

``USM juga boleh memanfaatkan rumah ini untuk dijadikan pusat penyelidikan untuk pelbagai bidang khususnya arkeologi memandangkan USM juga ada menjalankan kajian berkenaan kerajaan Gangga Negara dan Melayu Beruas di kawasan ini,’’ ujarnya.

Tambah Mustafa, beliau masih berulang-alik ke rumah tersebut sehingga ke usia awal 20-an sebelum meneruskan pengajian ke merata tempat selain sibuk dengan urusan dalam lapangan kerjaya dan sebagainya.

``Peredaran masa dan tanggungjawab dalam kerjaya menyebabkan ramai dari ahli keluarga sudah tidak dapat berkumpul dengan kerap,’’ katanya.

Pun begitu ujarnya, rumah tersebut sekali-sekala tetap menjadi lokasi pertemuan beliau dengan sepupu-sepupunya termasuk alumni USM dan bekas penjawat awam kanan persekutuan, Dato’ Seri Talaat Husain.

DSC 4431

Dalam pada itu, mengulas berkenaan fungsi rumah tersebut kepada USM, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin pula berkata, rumah itu akan dijadikan pusat pameran dan pusat penyelidikan USM.

``Apabila siap nanti, rumah ini akan menjadi tempat untuk kita pamerkan data-data arkeologi dan penemuan yang menjadi lambang tamadun di tempat ini satu ketika dulu.

``PPAG juga masih lagi menjalankan penyelidikan kerajaan Gangga Negara dan Melayu Beruas dan kita yakin rumah ini nanti akan menjadi satu mercu tanda yang kukuh sebagai lokasi arkeopelancongan dan memberi impak besar untuk masyarakat khususnya penduduk di sini,’’ ujar beliau.

DSC 4662

Dalam pada itu, berdasarkan maklumat awal oleh pakar, rumah tersebut akan dapat diperbaiki dan dipulihara dalam tempoh dua tahun dari sekarang melalui proses kerja yang sistematik bagi mengekalkan struktur asalnya yang unik.

Kerja-kerja membaik pulih juga akan dilakukan dengan teliti bagi memelihara hasil kerja pertukangan di era 30-an yang masih jelas boleh dilihat melalui struktur tiang, ukiran, binaan konkrit dan sebagainya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1154

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024