PEMBINAAN NEGARA BANGSA PERLU MENJADI AGENDA UTAMA PENDIDIKAN NEGARA
DOHA, QATAR, 4 Mac 2014 - Di sebalik keghairahan institutsi pengajian tinggi di negara-negara membangun untuk mencapai kedudukan yang baik dalam senarai kedudukan (ranking) universiti terbaik dunia, sektor pendidikan sesebuah negara secara umumnya tidak wajar mengabaikan agenda pembinaan negara bangsa.
Demikian menurut Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman semasa menyampaikan syarahan bertajuk “Transformation Education: The Malaysia Experience” (Transformasi Pendidikan: Pengalaman Malaysia) di Ahamed Bin Mohamed Military College, Qatar.
Naib Canselor menyampaikan syarahan itu atas jemputan pihak pengurusan kolej berkenaan.
Menurut Omar, kelangsungan pembangunan sesebuah negara mempunyai kaitan rapat dengan kualiti pendidikan di semua peringkat termasuk peluang untuk mendapat pendidikan tinggi.
“Untuk memastikan pembangunan sesebuah negara berteraskan kepada sistem nilai dan budaya sesebuah negara, maka wajar sekali elemen pembinaan negara bangsa diketengahkan sebagai agenda utama dalam perancangan pendidikan sesebuah negara itu.
“Dalam hal seumpama ini, kita wajar mengambil kira sejarah dan hala tuju negara dalam merancang sistem pendidikan termasuklah pendidikan tinggi di sesebuah negara itu. Dengan adanya elemen pembinaan negara bangsa ini akan dapat memupuk semangat kecintaan kepada negara dan ini akan dapat memberi impak tersendiri kepada pelajar dan masyarakat dalam sesebuah negara itu,” tegas Omar.
Omar juga berkongsi pengalaman dalam transformasi USM dari sebuah universiti berasaskan pengajaran kepada universiti berteraskan penyelidikan termasuk perubahan dalam struktur, sistem dan proses yang telah dilakukan melibatkan pelajar, staf akademik dan pentadbiran USM.
Terdahulu dari itu, Dekan Hal-Ehwal Akademik kolej berkenaan, Dr. Khalid Al-Khater dalam ucapan aluannya menyampaikan penghargaan kepada Omar atas kesudian menerima undangan menyampaikan syarahan di kolej berkenaan. Beliau juga berharap kerjasama dengan USM dapat dijalinkan terutamanya dalam program akademik dan pengurusan sumber manusia.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM Profesor Dr. Muhamad Jantan, Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer USM Profesor Dr. Ahamad Tajudin Khader, Pengarah PIPPA Dr. Musa Ali, Timbalan Dekan Hal-Ehwal Akademik kolej Profesor Dr. Abdel Malek Boularas serta staf-staf akademik dari kolej tersebut.
Sebelum syarahan bermula, delegasi USM juga dibawa melawat sekitar bangunan kolej tersebut untuk melihat kemudahan pengajaran yang sedia ada seperti bilik-bilik kuliah, perpustakaan, auditorium persidangan, dewan serbaguna dan sebagainya. - Foto : Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1293