USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENYELIDIKAN ARKEOLOGI PERKUKUH JATI DIRI

030314-10

SUNGAI BATU,MERBOK, KEDAH,  3 Mac 2014 - Hasil kerja arkeologi dan sejarah penting untuk perkukuhkan jati diri bangsa.  

Hal ini dinyatakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir ketika menutup Program Jom Cari Kedah Tua di sini petang ini. 

Menurut Mukhriz, dapatan daripada kajian arkeologi seperti mana di Sungai Batu ini dapat membantu untuk memahami “siapa, dari mana dan ke mana” hala tuju kita dalam melangkah ke hadapan. 

030314-267

“Sejarah memberikan kita momentum, ke arah mana dan bagaimana kita bergerak ke hadapan seperti mana yang boleh dipelajari dari penemuan arkeologi Sungai Batu ini,” tambah beliau lagi. 

Menurut beliau, terdapat sekurang-kurangnya empat perkara penting yang boleh dipelajari iaitu penemuan tapak industri yang sebenarnya tidak pernah terlintas di pemikiran kita tamadun tinggi masyarakat kita telah lama wujud yang jika tidak dibuktikan oleh penemuan saintifik seperti ini maka sukar mempercayainya. 

“Tidak pernah terlintas di fikiran kita bahawa sejak 384 SM kita sudah mempunyai industri dan teknologi melebur besi,” kata Mukhriz. 

030314-234

Kedua ialah wujudnya aktiviti melombong bijih di sini dan ketiga wujudnya perdagangan antarabangsa pada masa itu dan berlakunya pertukaran dagang. Apabila hal ini berlaku, perkara keempat yang ditunjukkan dari penemuan ini ialah wujudnya sistem pentadbiran  yang tersusun rapi dalam menguruskan perdagangan dan semua urusan yang berkaitan. 

“Soalnya bagaimanakah kita dapat memanfaatkan pengetahuan seperti ini  untuk menjadikan kita lebih menghargai dan memahami kekuatan sebuah negara bangsa sehebat itu untuk menyusun langkah pada masa hadapan?,” tambah Mukhriz lagi. 

Kerana itu, Kerajaan Negeri Kedah memberikan sokongan penuh dalam kerja penyelidikan arkeologi terutamanya di Sungai Batu, Merbok.  

030314-26

“Pihak kami akan membangunkan tapak ini sebagai tapak warisan serta mengambil kira keperluan Universiti Sains Malaysia (USM) supaya pembinaan tersebut tidak merosakkan warisan,” jelas Mukhriz. 

Menurut beliau lagi, hasil kajian ini sangat bernilai bukan sahaja untuk Malaysia tapi dunia secara keseluruhannya.  

Program Jom Cari Kedah Tua dikelolakan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM bersama-sama Sekretariat Penyelidikan Tamadun Awal Kedah Tua (SPTAKT) bagi membuka peluang kepada media perdana untuk sama-sama ekskavasi tapak arkeologi Sungai Batu, Merbok, Kedah.

030314-25

Pengarah PPAG,  Profesor Datuk Dr Mohd Mokhtar Saidin berkata, terdapat 97 buah tapak yang telah dikenal pasti oleh ahli Geofizik mempunyai monumen di bawahnya dan USM telah membuka 47 buah tapak yang telah mencatat sejarah kepada dunia bermula tahun 2009. 

“USM telah mula melaksanakan program Sahabat Arkeologi USM yang mana berkongsi ilmu, lawatan ke tapak  bersama-sama dengan pelajar dan juga dari agensi berdekatan,” jelas Mohd Mokhtar. 

USM pada tahun ini akan meneruskan tradisi untuk meneruskan ekskavasi yang dipeta dan juga akan memaklumkan maklumat awal kepada umum seperti yang disarankan dalam program APEX Sharing iaitu perkongsian maklumat dengan orang awam. 

030314-30

030314-32

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pemangku Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Shukri Mustapa Kamal,  Exco Negeri Kedah yang juga alumni USM,  Dato’ Tajul Urus Mat Zain, Ketua Pegawai Eksekutif SPTAKT, Mohd Tarmizi Wahab dan juga Rektor Universiti Teknologi MARA Merbok Dr Asmadi Mohammed Ghazali. Teks: Mohamad Abdullah dan Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1218

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024