PESERTA KAGUMI WARISAN NEGARA, HARAP TERUS TERPELIHARA
PULAU PINANG, 5 Mac 2014 – Para peserta khususnya pengamal media yang mengikuti program ekskavasi di tapak tinggalan Sejarah Kompleks Sungai Batu, Kedah mengagumi tamadun awal yang wujud di negara ini yang disifatkan jauh lebih hebat dari disangka.
Rata-rata mereka yang menyertai program Jom Cari Kedah Tua itu juga berharap supaya warisan sejarah negara yang diselidik sendiri oleh pengkaji tempatan yang begitu unggul dapat dipulihara dan disimpan dengan baik untuk diwariskan kepada generasi masa hadapan.
Kompleks Sungai Batu menjadi tapak penemuan penting oleh Penyelidik Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), diketuai Pengarahnya, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Mokhtar Saidin yang menemukan tamadun awal manusia pada abad ke-5 SM sehingga Abad ke-17 M.
Penyelidikan itu juga memberi bukti kukuh wujudnya satu tamadun yang unggul di situ berdasarkan bukti aktiviti peleburan besi yang ditemui, selain kompleks jeti yang menandakan adanya aktiviti perdagangan antarabangsa di situ.
Wartawan dari Malaysia Hari ini (TV3), Syazwani Diyana Mohamad Isa berkata, program seumpama itu memberi peluang kepada mereka untuk merasai sendiri pengalaman menjalankan kajian arkeologi dan mengendalikan bukti-bukti sejarah yang tersimpan berabad lamanya.
Katanya, para peserta dapat merasai betapa sukarnya para penyelidik menjalankan kajian untuk mengetahui sejarah peradaban negara kita satu ketika dahulu dan ia mendatangkan satu kesedaran kepada masyarakat agar menghargai segala usaha yang dilakukan.
``Saya juga turut merasa bangga dengan kepakaran yang dimiliki oleh Pengarah PPAG dalam merungkai sejarah Peradaban di Kedah Tua dan akan mengambil inisiatif untuk menyebarkan penemuan penting ini ke segenap lapisan masyarakat,’’ katanya.
Beliau turut mengagumi Mokhtar dan menyifatkannya sebagai permata negara yang mampu merungkai sejarah di negara sendiri sehingga dapat membuka mata dunia dengan pelbagai penemuan yang menggambarkan ketinggian tamadun di sini.
``Jika dahulu kita hanya bergantung kepada sejarah yang ditulis atau dicari gali oleh pihak luar, yang berkemungkinan juga dibawa balik ke negara asal mereka sebagai khazanah milik mereka, namun kini kita ada pakar sendiri yang membangunkan kajian di negara kita sendiri,’’ katanya.
Ketua Jurugambar Focus Malaysia, Saiful Hizam Mansor pula berkata, langkah yang diambil oleh kerajaan negeri dan USM itu amat signifikan dalam menyuburkan semangat cintakan warisan negara dan menghargai khazanah tinggalan nenek moyang dahulu.
Katanya, ia wajar diteruskan dengan melibatkan pelbagai kumpulan sasaran yang lain supaya mereka lebih memahami sejarah negara dan bersama berusaha memelihara khazanah yang menggambarkan jati diri masyarakat di negara ini.
``Saya juga berharap pelajar institusi pengajian tinggi dapat dilibatkan secara menyeluruh melalui aktiviti seumpama ini kerana mereka adalah agen perubahan yang mampu menyebarkan ilmu yang diperoleh kepada masyarakat.
``Khazanah yang tersimpan di Sungai Batu adalah sangat tinggi nilainya dan ia perlu diwar-warkan secara lebih menyeluruh supaya setiap dari kita dapat menghargai sejarah dan tamadun kita sendiri,’’ ujarnya.
Dalam pada itu, wartawan Utusan Malaysia, Mohd Fauzi Mohamad Suhaimi pula menegaskan, persepsi awalnya sebelum ke Sungai Batu menggambarkan program yang bakal diikuti adalah satu program lawatan biasa yang hanya menunjukkan tempat-tempat bersejarah di Kedah.
" Tapi setelah datang ke sini dan merasai pengalaman ekskavasi dan melihat penemuan-penemuan yang dibuat PPAG, saya merasakan pengalaman ini perlu dikongsi dengan orang lain kerana ia begitu berharga dan di luar jangkaan,’’ ujarnya.
Pendapatnya turut dipersetujui oleh wartawan The Rakyat Post, Kamini Raja Singgam yang menyifatkan pengalaman tiga hari di Sungai Batu memberikan nilai yang tidak terhingga, apatah lagi berpeluang menjalankan ekskavasi.
" Saya juga amat teruja dengan kepakaran penyelidik di negara ini yang berupaya tampil dengan penemuan yang setanding dengan kepakaran akademia barat.
``Kejayaan merungkai tamadun awal yang tersimpan di bumi sejak sekian lama harus dikongsi dengan semua pihak dan saya akan mengambil peranan saya sebagai agen penyebar maklumat untuk mengwar-warkan penemuan ini ke serata dunia,’’ ujar beliau.
Mengulas berkenaan peluang merakamkan foto dan bukti-bukti penting di tapak sejarah itu, jurugambar The Rakyat Post, Kennteh Wan pula menyifatkan ia pengalaman pertama yang menyeronokkan dan berharga.
``Saya bukan sekadar akan menggunakan foto yang dirakam untuk tujuan penerbitan, malah akan menyimpannya sebagai koleksi peribadi kerana bukan senang untuk diberi peluang berada dekat dengan artifak bernilai tinggi warisan negara,’’ ujar beliau. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1162