PEJABAT TRANSFORMASI LENGKAPKAN KITARAN, LAHIR WARGA USM UNGGUL
PULAU PINANG, 7 Mac 2014 – Pejabat Transformasi yang mula ditubuhkan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2012 berperanan sebagai agen yang menjana perubahan dalam set minda warganya untuk mentransformasikan universiti dalam pelbagai hal ke arah satu tahap yang lebih baik dan terkehadapan dari yang lain.
Tanda aras tersebut pada asasnya telah pun berjaya dicapai oleh pengemudi terdahulu, yang telah meletakkan USM pada landasan yang betul ke arah menjayakan matlamat mentransformasi pengajian tinggi untuk kelestarian hari esok, bersesuaian dengan moto Universiti iaitu ‘Kami Memimpin’.
Pun begitu, dengan kepantasan masa dan setelah USM kini lebih tampak pada arahnya menuju kecemerlangan, ada sedikit kepincangan yang dirasakan perlu untuk diberi perhatian oleh pengemudi atau dalam hirarkinya ialah Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr.Omar Osman.
Kesempatan berbicara dengan Pengarah Pejabat Transformasi yang baru dilantik pada Januari tahun ini, Dato' Haji Ellias Haji Zakaria atau yang lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Ellias Zakaria, beliau berkata kepimpinan tertinggi USM iaitu Naib Canselor menyuarakan hasrat untuk melihat pembangunan sumber manusia yang kaya dengan budi bahasa, sifat sayang-menyayangi, tolong menolong, jujur, ikhlas dan sebagainya menjadi satu amanah penting untuk dilaksanakannya.
Katanya, dalam masa yang sama, warga institusi pertama di negara ini yang diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab menjayakan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) perlu terus diingatkan agar menjauhi segala sikap negatif, dan berusaha menguncupkan sikap buruk berhasad-dengki, suka berkelahi, busuk hati dan sebagainya.
``Ketika saya diamanahkan memegang tampuk kepimpinan Pejabat Transformasi, telah berlaku anjakan peranan dan bidang yang perlu difahami oleh segenap warga USM. Peranan Pejabat Transformasi untuk mentransformasi USM secara menyeluruh telah dilaksanakan dengan baik oleh kepimpinan terdahulu seperti yang tertulis dalam buku APEX USM.
``Asas secara fizikal sebagai agen transformasi telah dibina dengan kukuh dan kini peranan saya untuk lebih menumpukan kepada melengkapkan kitaran yang ada dengan tanggungjawab melahirkan satu model pembangunan sumber manusia yang unggul,’’ujarnya.
Tambah Ellias, selagi sumber manusia menara ilmu ini masih dibelenggu dan dibelit dengan hal-hal yang tidak menguntungkan institusi ini seperti sikap malas bekerja, pentingkan kebendaan, tiada jaringan antara manusia dan sebagainya, kerja untuk melahirkan modal insan yang unggul dan terkehadapan akan menjadi sukar.
Justeru katanya, untuk tampil lain dari yang lain, warga USM perlu dipupuk untuk mengukuhkan asas yang dipanggil qalbu, kerana dari qalbulah menentukan jati diri setiap dari kita tidak mengira di mana pun kita berada.
``Saya amat yakin dengan falsafah bahawa warga USM perlu melahirkan insan yang bergelar warga yang menampakkan dan menzahirkan semangat universiti, beriringan dengan semangat menara ilmu tercinta yang menjadi sebahagian dari bait lirik lagu USM, menepati ciri-ciri moto Kami Memimpin dan terkini konsep Saya Sayang USM.
``Saya percaya segala idea atau konsep ini tidak seharusnya hanya bermain di bibir warga USM sebaliknya perlu dibanggakan oleh setiap yang bergelar warga USM, tidak kiralah sama ada seseorang itu kakitangan atau sebagainya. Jika saya berupaya menyerapkan perasaan sayang pada Universiti dalam kalangan warganya dengan watak-watak sumber manusia yang penuh ilmu dan adab, saya sudah mampu bersyukur,’’ katanya.
Mengulas persoalan ilmu dan adab, beliau berkata: ``Dari penampilan kita biar ada adab dan bila berkhidmat kita berbakti dan berbudi. Bila mejaringkan perkhidmatan, biarlah ia dalam budi dan bakti kerana dengan ciri-ciri itulah kita tampil lain dari yang lain. Tidak dinafikan para alumni kita telah banyak menyumbang kepada bilangan sumber manusia yang besar dalam pelbagai sektor di negara ini dan biarlah ia berteraskan kepada satu asas yang kukuh iaitu dengan qalbu yang suci.
``Yang dimaksudkan dengan qalbu yang suci adalah warga yang bercirikan sifat manusia berjiwa murni, tahan lasak, boleh diuji, keikhlasannya tinggi, jujurnya tiada tanding, hebat, mudah mesra dengan orang lain, dan sebagainya. Jika warga USM mempunyai ciri-ciri ini, maka orang-orang USM telah berada jauh di hadapan dalam serba-serbi dan berupaya menjana perubahan ke arah yang lebih baik di sektor mana pun ia berada termasuk kerajaan, swasta dan sebagainya.’’
Mengulas cabarannya dalam meneraju Pejabat Transformasi, Ellias yang lebih sinonim dengan karisma Islamiknya berkata, perkara yang paling signifikan perlu dilakukan adalah dalam menukar set minda masyarakat USM ke arah memahami peranan Pejabat Transformasi pada ketika ini yang lebih menjurus kepada usaha memupuk kejiwaan dalam manusia.
``Cabaran pertama adalah dalam menukar persepsi bahawa Pejabat Transformasi kerjanya adalah untuk mentransformasikan Universiti secara keseluruhan. Sebenarnya Pejabat Transformasi lebih sesuai menjadi moderator atau pemudahcara dalam menjana perubahan.
``Sebagai contoh jika pusat pengajian mahu ditransformasikan, individu yang paling sesuai untuk meneraju usaha menjana perubahan adalah Dekan dan ahli-ahli akademik di pusat pengajian itu kerana mereka lebih tahu apa yang diinginkan, ke mana arah mereka, apakan tanda aras yang ditetapkan, siapakan pesaing mereka dan sebagainya. Jika mereka merujuk kepada Pejabat Transformasi dan kita bantu dengan sedaya yang mampu,’’ ujar beliau.
Menyentuh sedikit mengenai latar belakang beliau, Ellias yang lahir pada 13 Oktober 1956 telah membesar di Kampung Tasik Junjong, Simpang Empat Seberang Perai dan berkelulusan Ijazah Sarjana dari Temple University, Amerika Syarikat. Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang Pengajian Islam dan mengkhusus kepada syariah.
Terdahulu, bapa kepada lapan cahayamata ini juga pernah menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan menyandang tugas sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang telah menzahirkan ketokohan dan membawa perubahan yang signifikan kepada masyarakat di negeri ini.
Katanya, sepanjang menyandang jawatan itu, beliau bersyukur kerana dapat menyumbang kepada usaha-usaha memperkasa peranan masjid sebagai pusat ibadah yang unggul dan suci, menyelesaikan isu-isu pembangunan waqaf, memperkasa golongan asnaf dan merakyatkan MAIPP melalui penerapan konsep keterbukaan.
"Jika ada perkara yang ingin saya harapkan ialah agar Yang Dipertua MAIPP dapat diberikan kuasa eksekutif untuk memastikan tugasnya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan sesuai dengan pelantikan yang dibuat melalui perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," kata Ellias.Teks : Marziana Mohamed Alias / Foto: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1438