USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM SESAT DI GUNUNG JERAI SELAMAT: NC UCAP TERIMA KASIH SEMUA.

PIC1

PULAU PINANG, 9 Mac 2014 -Pasukan Bomba dan Penyelamat diketuai Komander Operasi Tuan Liew Tong Sin Timbalan Penguasa Bomba sedang bertungkus lumus membawa turun 8 orang pelajar Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Sains Malaysia  (USM) yang sesat di atas Gunung Jerai Gurun, Kedah sejak malam Sabtu lalu. Dua orang daripadanya cedera kaki dan tangan.

Dua yang cedera di tangan kiri dan kaki kerana dihempap batu ialah Poon Chun Yip, 24, dan Davindar Raj Sivashankar, 27, yang cedera di tangan kiri dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk rawatan. Manakala 6 pelajar lain dibawa ke Hospital Daerah Yan untuk dirawat sebagai pesakit luar.

Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr Omar Osman yang berada di tempat kejadian menyambut ketibaan semua mangsa yang diselamatkan. Mereka dibawa turun dari Gunung Jerai kira-kira jam 6.35 petang ini, di Kuari Singkir, Yan Kedah.

Terhutang Budi

"USM terhutang budi kepada semua pasukan yang terlibat menyelamatkan mereka, iaitu Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia,  Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, St. John Ambulance, Polis Komuniti, penduduk kampung serta lebih 60 orang sukarelawan dan tenaga termasuk USMaRT  yang digembleng untuk membantu kerja-kerja menyelamat ini," kata Omar.

Menurut Liew Tong Sin, pelajar-pelajar tersebut berada kira-kira  7  km dari puncak Gunung Jerai dan usaha menyelamat melalui kesukaran kerana masalah fizikal tempat tersebut di samping penyelarasan dengan pihak-pihak berkuasa lain.

“Para pelajar tersebut  melakukan pendakian secara peribadi pada hari Sabtu mulai jam 10.00 pagi dan menghubungi Pasukan Bomba dan Penyelamat sekitar jam 8.02 malam hari Sabtu, yang walau pun dapat berhubung dengan mereka melalui telefon bimbit tetapi tidak dapat dikenal pasti tempat sebenar mereka berada kerana malam sehinggalah ditemui pada keesokan harinya,” tambahnya lagi.

pic2

Pada malam yang sama pihak universiti telah menghubungi semua  ibu bapa pelajar terbabit dan memaklumkan tentang kejadian yang berlaku. Sebahagiannya turut berada di tempat kejadian untuk mengikuti usaha menyelamat.

Selain dari Naib Canselor, turut berada di tempat kejadian ialah Timbalan Naib Canselor , Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (HEPP) Prof Dr. Adnan Hussein, Pengarah Kampus Kejuruteraan Profesor Dr. Zainal Ariffin Ishak  dan para pegawai USM  yang  meninjau keadaan dan bersama-sama membantu kerja menyelamat.

Maklumkan Universiti

“Saya berharap para pelajar lebih berhati-hati pada masa hadapan dalam melakukan aktiviti seperti ini dengan meminta nasihat pihak berkuasa dan mereka yang mengetahui tentang sesuatu tempat untuk mengelakkan daripada perkara seperti ini berulang,” kata Omar.

Beliau juga meminta agar HEPP memaklumkan segera semua pelajar USM untuk memaklumkan universiti, khsusnya kepada para pegawai HEPP atau pusat pengajian jika mereka ingin mengadakan aktiviti sedemikian di tempat-tempat yang boleh mendatangkan risiko untuk memudahkan universiti membantu apabila timbul masalah.

IMG-20140309-WA0025

Selain dari itu, Omar juga mengharapkan bantuan pihak berkuasa untuk segera memaklumkan USM terutamanya melalui Jabatan Keselamatan apabila berlakunya sesuatu kejadian yang melibatkan pelajar mahu pun kakitangannya untuk memudahkan semakan dan penyelarasan dilakukan bersama-sama apabila berlaku sesuatu kejadian.

“Dalam kes ini, kita amat berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantu pelajar dalam operasi menyelamat tersebut,” kata Omar lagi. Teks: Mohamad Abdullah / Foto:  Zulkifli Che’ Husin, Mohd Shafiq Abdul Aziz dan USMaRT.

  • Created on .
  • Hits: 1461

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024