SOLAT HAJAT UNTUK MH370 DAN KESEJAHTERAAN SEMUA
PULAU PINANG, 9 Mac 2014 - Lebih 500 orang pelajar dan kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) serta masyarakat sekitar kampus USM Pulau Pinang menyertai seluruh rakyat negara ini mendoakan agar usaha mencari dan menyelamat semua yang berada dalam Penerbangan Malaysia MH370 dipermudahkan Allah s.w.t.
Mereka mengerjakan solat hajat di Mesjid Al-Malik Khalid USM malam tadi selepas solat Isya’ yang diimamkan oleh Penolong Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Iswandi Abdul Mokmin. Hadir sama ialah Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.
“Kita mendoakan agar usaha yang dilakukan dalam mencari dan menyelamat semua yang terlibat dalam penerbangan MH370 tersebut akan berjalan lancar, di samping turut sama berdoa agar Allah s.w.t membantu USM dalam kesejahteraan semua,” kata Ahmad Shukri.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Pusat Islam USM bersama-sama semua Majlis Penghuni Desasiswa USM, Bahagian Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM serta pelbagai pihak lain yang bekerjasama dan prihatin terhadap usaha-usaha yang dibuat.
Teks: Mohamad bin Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1034