USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEBAKARAN KAWASAN BELUKAR TAMAN REKREASI - USM PANTAU 24 JAM

110314

PULAU PINANG, 11 Mac 2014 -  Seluruh tenaga Jabatan Keselamatan, Petugas-petugas Bahagian Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar (HEPP) terutamanya dalam kalangan pengurusan desasiswa, Pasukan Sukarelawan Universiti Sains Malaysia (USM) serta para pegawai Universiti memantau secara berterusan kebakaran kawasan belukar sekitar Taman Rekreasi USM yang berlaku sejak petang Ahad lalu.

Kebakaran itu walau pun tidak besar, tetapi menyebabkan asap yang dibawa angin ke kawasan desasiswa USM dan dapat dilihat dalam jarak kurang dari 5 km.

110314-4

Bercakap kepada para pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa USM pagi ini, Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, keadaan kering dan panas sekarang ini menyebabkan api berterusan membakar daun-daun kering yang pada masa ini terkawal dan usaha untuk memadamkannya terus dibuat oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat yang beroperasi sejak petang Ahad lalu di berhampiran Jalan Bukit Gambir berdekatan bangunan pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan SMK Bukit Jambul.

110314-3

Dianggarkan kawasan yang terlibat ialah sekitar 1 hektar. Kawasan bukit Taman Rekreasi USM tersebut merupakan kawasan hutan simpan yang mempunyai dusun dan tapak perkhemahan untuk aktiviti pasukan berpakaian seragam USM.  Punca kebakaran belum dapat dikenal pasti.

“USM berterima kasih kepada pasukan Bomba dan Penyelamat serta pasukan Polis Diraja Malaysia yang telah membawa balai bergerak ke kawasan tersebut manakala pasukan Bomba dan Penyelamat pula bukan sahaja berada di kawasan sekitar Jalan Ketitir tetapi juga di dalam kampus USM,” tambah Omar.

Pemantauan Berterusan

Menurut Naib Canselor USM itu lagi, USM menggembleng seluruh tenaga yang ada termasuk dalam kalangan pegawai keselamatan dan sukarelawan di samping para pegawai yang memantau secara berterusan terutamanya dari bangunan asrama yang tinggi di sekitar Kompleks Desasiswa Restu, Tekun dan Saujana.

110314-2

Edar 2,500 Topeng

Jelas Omar, pada masa ini usaha juga dibuat untuk membantu pelajar yang mempunyai masalah kesihatan akibat terhidu asap dari kebakaran ini terutamanya dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit asma untuk sentiasa berjaga-jaga.

“Malam tadi kita telah edarkan 2,500 topeng penutup hidung dan mulut dalam kalangan pelajar bagi tujuan tersebut,” tambah Omar.

Naib Canselor USM meninjau sendiri kawasan yang terlibat petang semalam dan melihat dari dekat usaha memadamkan kebakaran yang sedang dilakukan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat.

IMG 5524

IMG 5538

“Saya yakin keadaan adalah terkawal dan api akan dapat dipadamkan dalam masa terdekat namun keutamaan USM ialah keselamatan dan kesihatan para pelajar agar tidak terganggu dengan kebakaran belukar ini,” kata Omar.

Naib Canselor juga menasihatkan para pelajar agar lebih berhati-hati, melaporkan segera kepada pihak universiti dengan menghubungi Jabatan Keselamatan USM  atau pun Pusat Sejahtera (Pusat Kesihatan) USM jika terdapat sebarang masalah  yang berkaitan namun teruskan aktiviti seharian seperti biasa dan tidak perlu bimbang. Teks: Mohamad bin Abdullah /Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1920

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024