USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUA PELAJAR MENINGGAL DUNIA - NC UCAP TAKZIAH

110314-5

PULAU PINANG, 11 Mac 2014 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini memberikan penghormatan terakhir kepada calon ijazah sarjana dari Pusat Pengajian Sains Farmasi, Allahyarham Mostafa Ahmed Mafik Mohammed Ayad di Bilik Jenazah Hospital Pulau Pinang yang meninggal dunia Sabtu lalu.

Jenazah akan dibawa ke Kuala Lumpur sebelum diterbangkan ke Mesir untuk dikebumikan di sana.

Hadir sama menziarahi jenazah ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr. Adnan Hussein, Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Profesor Dr. Munavvar Zubaid Abdul Sattar, Timbalan Dekan (Akademik)  Dr. Nurzalina Abdul Karim Khan, Pengarah Pejabat Antarabangsa Profesor Madya Dr. Anees Janee Ali @ Hamid,  Timbalan Pendaftar (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Hj Husin Yahaya dan beberapa orang pegawai universiti. Penolong Pengarah Ustaz Iswandi Abdul Mokmin membacakan doa.

Sementara itu USM juga berdukacita dengan kematian pelajar laki-laki tahun 3 Pusat Pengajian Sains Komputer, Ho Chin Nam yang telah ditemui rakan sebiliknya meninggal dunia pada awal pagi pada hari yang sama. 

Paramedik telah datang membuat pengesahan di bilik kediaman pelajar berkenaan dan pihak  Polis Diraja Malaysia kemudiannya membawa jenazah ke Hospital Pulau Pinang.

Keluarganya dari Malim Nawar Perak telah dihubungi oleh pihak Universiti pada masa kejadian dan jenazahnya telah dibawa balik ke kampung halaman  untuk disemadikan.

“Kita berasa amat sedih dan dukacita atas pemergian kedua-dua pelajar ini dan mengharapkan agar kaum keluarga mereka akan tabah menghadapinya,” kata Omar.

Naib Canselor turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kedutaan Mesir di Malaysia yang membantu menguruskan jenazah pelajar berkenaan. Omar juga merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan universiti yang bertungkus lumus memastikan urusan yang berkaitan berjalan lancar dalam membantu kedua-dua keluarga menghadapi saat-saat genting dan penuh kesedihan ini.

Universiti merakamkan takziah kepada kedua-dua keluarga pelajar serta amat berdukacita atas kehilangan ini serta  mendoakan agar roh damai di alam abadi. Teks/Foto: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 15236

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024