USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGALAMAN MENGAJAR DI PEDALAMAN BERI ERTI HIDUP

cikgu3

PULAU PINANG, 11 Mac 2014 - “Alhamdulillah, saya bangga menjadi guru di Sekolah Kebangsaan Lemoi ini dan saya tidak pernah menyesal ditempatkan di sini” ujar Noor Afidah Ahmad apabila ditanya mengenai perasaannya berpeluang mengajar anak-anak orang asli yang jauh di pendalaman.

Noor Afidah dilahirkan pada 17 November 1984, merupakan anak kelahiran Pulau Pinang telah memulakan perkhidmatan sebagai Guru Bahasa Inggeris bagi pelajar Tahun 1, 5 dan 6 di Sekolah Kebangsaan Lemoi (SKL), Cameron Highlands pada tahun 2010. Perjalanan untuk memasuki ke kawasan sekolah ini daripada Ringlet, Tanah Rata memakan masa selama 4 jam.

Anak kelima daripada enam adik beradik ini memegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan pada tahun 2006 di Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, seterusnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda dan melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi.

“Sejak di bangku sekolah lagi saya ingin menjadi guru, dan saya juga memohon untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam bidang pendidikan, namun USM telah menawarkan jurusan pengurusan kepada saya” kata Noor Afidah.

Tambahnya lagi, walaupun agak kecewa pada mulanya, namun dia tetap menerima tawaran tersebut. Sepanjang pengajian beliau di USM dan Pengurusan khususnya telah mengajar beliau untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.

“Saya bersyukur kerana menerima jurusan ini, subjek-subjek pengurusan banyak memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris saya dan saya akui penguasaan Bahasa Inggeris saya agak lemah sebelum ini,” kata Noor Afidah.

Setelah tamat pengajian di USM, beliau terus bekerja dengan kakaknya dan pada tahun berikutnya beliau cuba memohon untuk mengikuti program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), namun gagal. Hasrat untuk menjadi guru yang diimpikan daripada kecil lagi tercapai apabila beliau diterima masuk ke Program KPLI pada tahun 2009 setelah beliau memohon buat kali kedua.

Setelah tamat program ini, beliau terus ditempatkan di SKL. Perjalanan masuk ke sekolah tersebut perlu menaiki kereta pacuan empat roda. Namun tidak ada sedikit penyesalan di hati beliau mengenai sekolah tersebut.

SKL mempunyai 106 orang murid keseluruhannya. Setiap tahun (darjah) hanya mempunyai satu kelas, dan setiap satu kelas hanya mempunyai 18 orang murid.

 “Murid-murid disini perlukan pendekatan pembelajaran yang mudah, bilangan yang sedikit dapat membantu saya mengajar murid-murid saya dengan lebih perhatian,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, pengalaman yang paling berharga apabila murid-muridnya mendapat tempat pertama bagi Pertandingan Story Telling pada tahun 2011 dalam kalangan sekolah-sekolah orang asli dan tempat keempat dalam Pertandingan Public Speaking pada tahun 2012 di peringkat daerah Cameron Highlands.

Beliau akui bukan senang untuk mengajar kanak-kanak orang asli ini, namun apabila melihat pencapaian dan perubahan murid-murid ini, ia merupakan kepuasan yang amat bermakna.

“Berkhidmat di dalam Kelab Pengguna selama 3 tahun di USM telah mengajar saya berkomunikasi dengan ramai orang di samping melatih kesabaran saya berhadapan dengan pelanggan sekaligus ini mengajar saya untuk bersabar dalam menyampaikan ilmu kepada murid-murid saya,” ujar Noor Afidah. 

Apabila ditanya mengenai pilihan beliau sekiranya ditawarkan di tempat lain, beliau memaklumkan bahawa beliau inginkan 10 tahun lagi bersama sekolah ini. Beliau amat sayangkan anak-anak murid beliau, dan banyak lagi yang beliau ingin lakukan untuk mereka, namun beliau tidak nafikan bahawa sebagai anak perempuan, beliau harus memikirkan masa hadapan dan keluarga beliau.

“Perasaan saya berbelah bahagi, memang saya mahu luangkan 10 tahun lagi disini, namun sekiranya ditakdirkan saya berkahwin kelak, saya perlu fikirkan perihal keluarga saya” ujar Noor Afidah.

“Namun, buat masa ini saya akan jalankan kerjaya saya seperti biasa dan membuat keputusan apabila sampai waktunya nanti,” tambah beliau lagi.

Beliau juga menasihatkan para pelajar untuk menerima apa jua jurusan sekiranya ditawarkan kerana banyak lagi yang menunggu kita di masa hadapan. Jangan mudah kecewa apabila apa yang dihasratkan tidak dapat, mungkin apa yang ditawarkan itu mendidik kita untuk menjadi lebih hebat. Teks: Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal / Foto: Yong Check Yoon 

  • Created on .
  • Hits: 1652

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024