HLAF TAWAR BIASISWA UNTUK PELAJAR PhD USM
PULAU PINANG, 11 Mac – Human Life Advancement Foundation (HLAF) bakal menawarkan biasiswa kepada pelajar yang mengikuti program PhD atau program Postdoctoral di Universiti Sains Malaysia (USM) setelah termeterainya penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara kedua-dua pihak.
Melalui biasiswa tersebut, HLAF bersetuju menawarkan sejumlah 4 biasiswa bernilai USD15,000.00 dan USD35,000.00 setahun kepada mereka yang berminat melanjutkan pengajian sehingga peringkat PhD dan Postdoctoral.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman hadir berkata penawaran biasiswa oleh HLAF ini akan mampu melahirkan lebih ramai tenaga pakar dan berkemahiran tinggi dalam teknologi serta inovasi keseluruhannya.
“Saya bagi pihak USM mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas penawaran biasiswa terbabit dan diharap usaha ini mampu membangunkan USM sebagai salah satu rakan strategik HLAF bagi melahirkan golongan berkemahiran tinggi bukan sahaja untuk universiti tetapi negara keseluruhannya”
Ketua Pegawai Eksekutif HLAF, Junaidi Said berkata melalui memorandum persefahaman dengan USM, ia mampu menjana pembangunan teknologi dan inovasi melalui pemberian biasiswa kepada pelajar siswazah serta pemegang ijazah PhD untuk menyambung pengajian dan penyelidikan mereka.
“Ianya bukan sahaja akan mempelbagaikan lagi sumber pembiayaan kepada pelajar malah akan mendorong penglibatan yang lebih aktif dalam aktiviti penyelidikan yang mempunyai impak dan nilai komersial yang mampu meningkatkan taraf kehidupan umat sejagat”
Tambah beliau lagi, biasiswa ini dibuka untuk semua pelajar termasuk pelajar dari luar negara yang menyambung pengajian peringkat PhD di USM.
Turut hadir sama adalah Profesor Dr. Othman Sulaiman, Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), USM, dan Melati Hassan Basree, Pengurus, Human Life Advancement Foundation (HLAF).
HLAF adalah sebuah organisasi antarabangsa yang tidak berasaskan keuntungan, ditubuhkan dengan tujuan untuk merapatkan jurang di antara negara maju dan negara membangun di dalam aspek pengembangan teknologi dan inovasi melalui perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi.
Pengerusi HLAF ialah Mantan Perdana Malaysia yang ke-4 iaitu YBhg Tun Dr Mahathir Mohamad, selaku salah seorang dari 3 Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang dilantik oleh organisasi tersebut.
Untuk maklumat lanjut berkenaan penawaran biasiswa ini, boleh menghubungi Institut Pengajian Siswazah di talian +604-6532930/2998/2982 atau e-mel:
- Created on .
- Hits: 1247