NC HADIR SEMBANG SANTAI BERSAMA PELAJAR
PULAU PINANG, 12 Mac 2014 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman meluangkan masa bersama siswa-siswi USM dalam suasana tidak formal dengan bercerita perihal perkembangan Universiti, selain mendengar suara mahasiswa sempena program Sembang Santai Bersama NC di sini semalam.
Program yang masuk edisi ke-4 anjuran Majlis Perwakilan Pelajar USM itu dihadiri oleh lebih 150 pelajar, yang rata-ratanya teruja kerana berkesempatan menghabiskan masa bersama Naib Canselor dalam kesibukan tugasnya mengetuai urusan dan operasi Universiti.
Omar berkata, USM kini berkembang selaras dengan misinya dalam berusaha mentransformasikan pengajian tinggi untuk kelestarian hari esok, selain komited menjadi universiti penyelidikan yang bertaraf dunia.
Katanya, siswa-siswi juga diharap dapat bersama-sama Universiti menjayakan hasrat untuk menjadi sebahagian besar penyumbang dalam pembinaan sebuah negara maju yang berteraskan kepad mosal insan yang unggul.
``Pihak Universiti turut mengucapkan syabas kepada siswa-siswi yang kini boleh disifatkan telah mula menyesuaikan diri dengan perubahan, khususnya dalam menampilkan konsep berdikari dalam setiap tindakan atau aktiviti yang dijalankan.
``USM juga amat berbangga kerana siswa-siswi telah bertungkus-lumus bersama-sama menjayakan program Universiti, selain turut menampilkan pelbagai program yang dipacu dan dikelolakan sendiri dengan jayanya oleh para pelajar,’’ katanya.
Beliau juga berkata, jika melihat situasi 15 tahun kebelakang, ketika para pemimpin USM menyuarakan hasrat untuk menjadikan institusi ini dikenali di peringkat dunia, banyak suara sinis yang kedengarannya seperti mempertikai usaha tersebut.
Namun jelasnya, atas komitmen dan kesungguhan para pemimpin USM pada ketika itu khsususnya oleh para Naib Canselor, usaha diteruskan dari peringkat demi peringkat dan hasilnya kini mulai dilihat serta nama USM mula kedengaran di pentas global.
``Banyak yang telah dicapai oleh Universiti kita walaupun usia USM belum mencapai 50 tahun. Universiti ini juga seringkali tampil unik dari yang lain.
``USM menjadi institusi pertama yang memperkenalkan sistem pusat pengajian dan ia diteruskan sehingga ke hari ini kerana telah menunjukkan keberkesanan yang amat tinggi. Kepakaran warga USM juga kini telah dirujuk oleh dunia dalam pelbagai lapangan,’’ ujar beliau.
Justeru katanya, beliau amat berharap siswa-siswi akan terus berdaya saing dan memahami dengan jelas matlamat dan hala tuju yang ingin dicapai USM, selain menjadi penyumbang utama dalam citra kejayaan Universiti. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1047