USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERANAN WANITA MENGUKUH, SUMBANGAN BAWA PERUBAHAN PADA INSTITUSI

120314-c

PULAU PINANG, 12 Mac 2014 – Peranan wanita dalam membangunkan masyarakat ke tahap lebih baik pada hari ini dilihat semakin signifikan, malah ia lebih dari sekadar menyumbang, bahkan telah membawa perubahan kepada organisasi atau institusi yang diwakilinya.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, peranan yang semakin mengukuh ini perlu lebih ditonjolkan supaya ia membawa kepada kesinambungan dan keseimbangan untuk masa depan.

Katanya, setiap dari kita mempunyai kehidupan yang berkait rapat dengan sumbangan wanita daripada seorang ibu mahupun isteri atau pun siapa jua yang amat dekat di hati masing-masing.

``Lebih jauh lagi sumbangan di peringkat institusi dan negara yang berupaya mencetuskan perubahan dalam pelbagai bidang, citra kejayaan yang mendatangkan impak kepada pelbagai kumpulan sasaran,’’ tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Wanita Antarabangsa peringkat USM yang bertemakan “Mencetuskan Inspirasi Ke Arah Perubahan (Inspiring Change)” yang lebih berfokus kepada pencapaian kesaksamaan gender di negara ini.

Satu forum khas turut diadakan dengan menampilkan tiga panel khas yang berpengalaman luas dua orang guru Sekolah Kebangsaan Lemoi, Cameron Highlands, Noor Afidah Ahmad dan Hanisah Mat Hussin serta Pengurusi The Buddies Society of Ipoh, Perak, Afizah Bani Hashim.

IMG 5627a

Panel yang mengisahkan penceritaan mengenai pengalaman tiga wanita di lapangan kerjaya mencabar dan kesukarelawan itu dipengerusikan pensyarah dari Pusat Pengajian Seni USM, Dr. A.S Hardy Shafii.

Noor Afidah dalam pada itu berkata: “Saya dan juga Cikgu Hanisah merupakan dua orang guru perempuan pertama di Sekolah Kebangsaan Lemoi sehinggalah kini. Sebuah sekolah yang amat jauh di pedalaman dan untuk sampai ke situ mengambil masa sehingga empat jam dari Ringlet.

``Pun begitu kami amat gembira kerana dapat menyumbang sesuatu yang mungkin ada di Antara kita tidak sanggup untuk melaksanakannya. Kami puas keranan dapat membantu menaiktaraf pendidikan masyarakat orang asli di situ.’’

Tambah beliau, mereka juga berharap agar masyarakat tidak memandang hina kepada masyarakat asli sekaligus dapat mengubah persepsi terhadap orang asli dan guru-guru di kawasan pendalaman.

Bagi Afizah pula, beliau sudah lama melibatkan diri dalam bidang sukarelawan bagi membantu pesakit-pesakit HIV di Ipoh. Beliau juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai bidang perubatan tetapi kerana minat dan kesungguhannya, beliau tetap membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Afizah memberitahu bahawa mereka memberikan bantuan sementara kepada para pesakit HIV bagi memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan walaupun tanpa sebarang bayaran kerana yang penting baginya adalah pengalaman yang tidak dapat diukur dengan wang ringgit.

Turut memeriahkan program ini ialah isteri Naib Canselor USM, Datin Noraizan Jamaludin dan Pengarah KANITA, Prof. Madya Dr. Noraida Endut. Teks: Marziana Mohamed Alias/Shazreen Sahimi/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1028

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024