USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INOVASI EMAS : DARI BIJI MANGGA KE MENTEGA KOKO

IMG 8952a

PULAU PINANG, 12 Mac 2014 -Universiti Sains Malaysia (USM) melalui penyelidik dari Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI), Profesor Dr Ir Mohd Omar Ab Kadir  telah menghasilkan mentega koko dari biji mangga, selaras dengan konsep kelestarian USM yang menggalakkan para penyelidik mengaplikasikan konsep penjanaan bahan buangan kepada produk bermanfaat.

Mentega koko daripada biji mangga ini diberi nama Supercritical Carbondioxide (SCCO2) Mango Fat Hard Coco Butter Replacer (CBR). Proses penyediaan tersebut bermula dengan mengekstrak minyak daripada kernel di dalam biji mangga menjadi serbuk mangga. Kemudiannya di campur dengan stearin kelapa sawit dan menjadikannya CBR tersebut mempunyai kriteria dan juga ciri yang sama dengan mentega koko asli hasil daripada biji koko.

IMG 8993a

“Pada kebiasaanya, mentega koko ini digunakan sebagai bahan utama untuk menghasilkan coklat, aiskrim mahupun bahan kosmetik. Keunikan pada CBR adalah keupayaannya memberi ketahanan kepada coklat dengan suhu sehingga 40 darjah Celsius, yang disifatkan sangat sesuai dengan suhu di negara-negara tropika.

“Keistimewaan tersebut turut membolehkan coklat yang diperbuat menggunakan CBR tahan lebih lama pada suhu bilik dan kekal dalam bentuk asalnya berbanding dengan penggunaan mentega koko yang sebenar,’’ jelas Mohd. Omar yang bertindak selaku ketua penyelidik bagi inovasi tersebut.

Ujar beliau, penghasilan CBR ini adalah inovasi bagi menampung keperluan mentega koko asli kerana permintaannya sangat tinggi dalam pasaran, selain mengatasi masalah kekurangan bahan mentah ekoran kawasan ladang penanaman koko telah menurun sebanyak 2500 hektar di seluruh negara. 

IMG 8938a

Menurut Mohd Omar, biji manga ini mudah diperolehi melalui pelbagai sumber seperti di tempat-tempat penjualan buah mahupun di dusun mangga yang banyak diperoleh dari utara tanahair serta daripada industri berasaskan mangga.

“Kajian mengenai CBR ini dijalankan sejak tahun 1993 secara berperingkat manakala ekstrak biji mangga tersebut telah dipatenkan pada tahun 1998,’’ ujar beliau lagi sambil menyifatkan kos penghasilan CBR jauh lebih rendah dari produk komersial yang wujud di pasaran ketika ini.

Menurut Dekan PPTI pula, Profesor Dr Azhar Mat Easa, bidang sains persekitaran di USM adalah yang terbaik di Malaysia dan di antara 28 institusi terbaik dunia. Mohd Omar telah berkhidmat dengan di USM amnya dan PPTI khasnya selama lebih 25 tahun dan berdidikasi dalam menjalankan penyelidikan.

IMG 8972

120314-a

Azhar berkata demikian ketika mempengerusikan sidang media memperkenalakan CBR yang telah memenangi pingat emas dalam Malaysia Technology Expo pada bulan lalu.

Para penyelidik lain yang bersama Mohd Omar dalam kajian ini ialah Dr Jahurul Haque Akanda, Dr Zaidul Islam Sarker dan juga Profesor Dr. Nik Norulaini Nik Ab Rahman yang juga tenaga kerja di PPTI. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1826

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024