USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CHILLI 2014: PELUANG PELAJAR SAINS PERUBATAN DAN FARMASI BERTUKAR ILMU

chilli
 
 
 
PULAU PINANG, 13 MAC 2014 – Seramai 81 orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) mengikuti pengajian Sains Perubatan dan Sains Farmasi berkumpul bersama bagi pertukaran ilmu pengetahuan sempena ‘Collaborative Health Interdisciplinary Lifelong Learning Initiative (CHILLI)’,anjuran pelajar Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia baru-baru ini.
 
Program CHILLI yang berlangsung selama 3 hari bertemakan “Bridging Hearts, Touching Lives” telah dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, USM, Prof. Dr. Munavvar Zubaid Abdul Sattar ini antara lain bertujuan meningkatkan persefahaman di antara mereka walaupun berlainan bidang dan disiplin.
 
Menurut Prof. Dr. Munavvar Zubaid Abdul Sattar, inisiatif pelajar Sains Farmasi melaksanakan program ini amat baik kerana selain dapat mengeratkan silaturrahim di antara mereka, para pelajar kedua-dua bidang terbabit dapat mengukuhkan kepentingan kepelbagaian disiplin dalam industri kesihatan kini.
 
“Kita inginkan pelajar USM bukan sahaja mampu menguasai bidang yang dipelajarinya, malah mereka mampu menguasai dunia perubatan secara keseluruhannya agar negara mampu melahirkan pakar Farmasi dan Perubatan serba boleh”
 
Tambah beliau lagi program ini adalah selaras dengan wawasan USM iaitu “Mentransformasikan Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok” kerana mahasiswa dapat berinteraksi bersama dan mengasah kemahiran profesional masing-masing.
 
Turut hadir adalah Profesor Madya Dr. Mohamed Azmi Ahmad Hassali, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan merangkap penasihat CHILLI, Dr. Hassan Anwer Rathore, juga penasihat CHILLI,    Encik Ho Rhu Yann, Pegawai Farmasi Pusat Pengajian Sains Farmasi, dan saudara Ng Zhi Yung, Pengarah Projek, Program CHILLI.
 
Pada majlis yang sama, Profesor Madya Dr. Mohamed Azmi Ahmad Hassali menjelaskan transformasi global penjagaan kesihatan amat dititikberatkan kini dalam dunia perubatan.
 
Katanya hal ini penting kerana statistik menunjukkan pembaziran ubat dan penyalahgunaan ubat disebabkan oleh kesilapan komunikasi antara pakar kesihatan yang berlainan seperti doktor, pegawai farmasi, dan jururawat semakin meningkat.
 
“Melalui program ini, diharapkan ia dapat dijadikan sebagai asas untuk memupuk komunikasi yang lebih baik serta menjalin hubungan yang lebih erat antara mahasiswa” tambah Mohamed Azmi lagi. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Pusat Pengajian Sains Farmasi
  • Created on .
  • Hits: 1279

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024