SUKARELAWAN USM BERBAKTI DI LADANG DUBLIN
KARANGAN, Kedah, 12 Mac 2014 - Sekumpulan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini sekali lagi telah berganding bahu dalam aktiviti bantuan kemanusiaan yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Dublin Bahagian 7, di sini.
Menurut penyelaras program dari Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Zulkifli Che Hussin, seramai 35 mahasiswa dari Briged Sukarelawan USM serta beberapa pegawai Universiti telah turut serta dalam menjalankan aktiviti gotong royong dan membaik pulih sekolah serta hampir 40 buah rumah penduduk tempatan yang rosak akibat dilanda ribut pada awal Mac lepas.
"Mereka yang mengikuti aktiviti ini kebanyakannya telah banyak terlibat dalam misi kemanusiaan seperti di Cameron Highland dan banjir di Pahang sebelum ini," kata Zulkifli.
Tambahnya lagi, diharapkan dengan penglibatan mahasiswa dan bantuan yang tidak seberapa dari pihak USM, dapat meringankan beban terutamanya dalam kalangan warga pendidik sekolah dan para pelajar sekolah terbabit.
Sementara itu, bagi Guru Besar SJKT Ladang Dublin, Karunamurthi a/l Subramaniam, bantuan yang dihulur pihak USM amat disanjung tinggi memandangkan pihaknya tidak memiliki tenaga kerja yang mahir dalam menangani bencana sebegini.
"Ini merupakan pengalaman saya yang pertama berhadapan dengan bencana alam sebegini sejak mula ditugaskan di sini pada 1 Januari 2014," katanya sambil menambah antara kerosakan teruk yang dialami ialah bumbung bangunan tercabut dan komputer serta mesin fotostat tidak dapat digunakan lagi kerana terkena air hujan.
Namun katanya, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah melalui Pejabat Pendidikan Daerah telah tampil menghulurkan bantuan awal seperti menggantikan bumbung yang baharu di samping telah mengenalpasti jumlah kerugian yang dianggarkan hampir RM200,000.
Ujarnya lagi, sekolah yang turut ditadbir oleh dua orang penolong kanan hal ehwal murid, seorang penolong kanan ko-kurikulum, serta seorang guru hanya mempunyai 15 orang pelajar yang terdiri dari murid darjah satu sehingga lima sahaja.
"Walaupun bilangan pelajar tidak ramai, itu tidak bermakna tanggungjawab yang digalas adalah mudah kerana penyebaran ilmu perlu dilakukan dengan ikhlas dan menyeluruh dan dalam masa yang sama, perlu dipastikan mereka ini didedahkan dengan dunia luar yang semakin mencabar.
"Ini sudah pastinya menuntut kesabaran yang tinggi, kemahiran pembelajaran yang terkini agar anak muda di kawasan ini akan turut sama menjadi pemimpin negara yang disegani pada satu masa nanti," ujarnya mengakhiri perbualan. - Teks & Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1257