USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PROVOST GAC

130314-q

PULAU PINANG, 13 Mac 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini menerima kunjungan hormat Provost dan Dekan Kolej, Gustavus Adolphus College (GAC), Minnesota, Amerika Syarikat, Dr. Mark J. Braun di pejabatnya di sini.

Dalam pertemuan hampir 45 minit itu, Naib Canselor dan Provost GAC membincangkan antara lain peluang kerjasama dua hala yang dapat dimanfaatkan bersama oleh kedua-dua institusi dalam aspek  pertukaran pelajar dan pensyarah berikutan kejayaan program akademik khas “Satu Semester di Malaysia” yang diadakan di USM buat pertama kalinya bermula 12 Februari hingga 30 Mei 2014 hasil memorandum perjanjian (MoA) yang ditandatangani oleh USM dan GAC pada Februari 2013.

Menurut Naib Canselor, beliau bersyukur dan gembira kerana program tersebut yang melibatkan 12 pelajar dari pelbagai kursus dari GAC mengikuti pembelajaran secara bermodul selama satu semester di USM telah berjalan dengan lancar dan menerima sambutan yang amat menggalakkan.

“Saya berharap program ini dapat ‘dieksport’ ke Amerika Syarikat, dan sebagai permulaan GAC boleh menjadi duta USM di sana dengan melaksanakan program tersebut di kolej mereka sebagai program musim panas (summer programme), dan kemudiannya memperkenalkan program ini kepada kolej-kolej dan institusi-institusi lain di wilayah Minnesota.

130314-m

“Dalam konteks pertukaran pelajar, saya juga berharap pihak Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa dapat meninjau peluang untuk bersama dengan Pusat Pengajian Komunikasi dan juga Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM mengenalpasti pelajar-pelajar yang sesuai untuk mengikuti program berkenaan sebagai satu cara untuk mendedahkan pelajar kita kepada budaya lain sekaligus memperkayakan pengalaman, kemahiran dan pemantapan jati diri mereka,” tambah Omar.  

Pendapat dan harapan yang sama turut disuarakan oleh Provost Mark, yang begitu tertarik dengan cadangan Naib Canselor untuk memperkenalkan program satu semester ini di Gustavus Adolphus College.

“Saya pasti jika program seumpama ini diadakan di GAC, pelajar-pelajar dari USM yang mengikuti program ini akan mendapat pengalaman berharga belajar di negara lain selain berpeluang berinteraksi dengan pelajar-pelajar dari GAC sekaligus mempelajari dan mengenali budaya mereka di sana,” kata Mark.

130314-h

Mark yang berada di Malaysia dari 11 Mac 2014 hingga 16 Mac 2014, akan melawat para pelajar GAC semasa kelas berlangsung di USM dan mengikuti kerja lapangan(field trip) di Kuala Kangsar.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi Profesor Madya Dr. Jamilah Ahmad dan juga Penyelaras Program GAC Profesor Steven H. Mellema yang juga Profesor Kunjungan di Pusat Pengajian Sains Fizik USM. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1162

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024