40 TAHUN BERSAMA
PETALING JAYA, 16 Mac 2014 - “Pada kali ini saya mencuba sedaya upaya untuk hadiri ke perjumpaan ini kerana telah tiga kali terlepas untuk bersama-sama dalam reunion tersebut kerana komitmen kerja,” kata Mantan Presiden AgroBank Malaysia Dato’ Martini Osman yang juga alumni USM dalam bidang Sains Kemasyarakatan.
“Ada muka yang saya masih ingat tapi tidak ingat nama beliau dan sebaliknya,” kata Martini yang telah bersara dari Agrobank pada tahun 2009.
Beliau juga sangat gembira dapat menghadiri perjumpaan ini dan kembali bertemu rakan-rakan di USM yang dikenali kebanyakannya sejak tahun 1973. Martini bekerja dengan Bank Pertanian Malaysia yang dikenali sebagai Agrobank selepas dikorporatkan bermula selepas menghadiri kursus jangka pendek di Universiti Teknologi MARA pada tahun 1975.
“Mungkin telah rezeki saya terus mendapat bekerja di Bank Pertanian selepas tamat pengajian sehinggalah saya bepencen juga dengan Agrobank, setia dengan syarikat tersebut,” cerita Martini.
Menurut Rajen Moses, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti program seperti ini kerana selain dapat bertemu dengan rakan-rakan lama, platform ini juga digunakan untuk mengingat kembali cerita-cerita zaman 70-an.
“Banyak maklum balas kami terima setiap kali diadakan reunion dan ramai alumni lebih selesa dengan perjumpaan yang tidak/kurang formal berbanding majlis formal,” kata Rajen yang kini bekerja sebagai Pengurus Besar Kanan, Perhubungan Awam di Sapura Group.
“Saya pernah mengikuti program Balikampus yang dianjurkan oleh pihak USM dan tinggal di asrama desasiswa yang disediakan.
“Program sebegini sangat membantu mengembalikan nostalgia zaman 70-an di USM dan perlu diadakan selalu untuk menarik minat alumni-alumni lain,” tambah Rajen yang pernah menjadi sekretariat untuk Majlis Makan Malam Sirih Pulang ke Gagang anjuran Persatuan Alumni USM Wilayah Persekutuan dan Selangor. Walaupun beliau tamat pengajian pada tahun 1976 tapi beliau tidak kekok dengan rakan-rakan yang lebih senior.
Perkara ini turut diakui oleh isteri beliau, Pearl Moses yang juga alumni USM dalam bidang Sains Kemasyarakatan yang kini mengajar di sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur.
Mereka adalah antara yang hadir dalam perjumpaan Alumni USM tahun 1975 yang akan meraikan 40 tahun bersama tahun hadapan. Seramai 37 orang alumni yang hadir dan kebanyakan mereka telah mencecah umur 60 tahun, namun masih bertenaga dan ada juga yang masih bekerja samada sendiri ataupun makan gaji.
Perjumpaan seperti ini bukan kali pertama di adakan atau diadakan setahun sekali, tapi mereka masih dan sering berjumpa sesama mereka walaupun hanya untuk minum petang.
Semua alumni mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengurusan Pejabat Pemajuan dan Perhubungan Alumni terutamanya Pengarah, Mohamad Abdullah kerana membantu menguruskan program ini dengan jayanya. Teks dan Foto: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1153