USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERTEMU SEMULA SETELAH 40 TAHUN BERPISAH

DSC 0076

PETALING JAYA, 16 Mac 2014 - Kegembiraan jelas terpampang pada raut wajah setiap 37 alumni Universiti Sains Malaysia (USM) yang berijazah pada tahun 1975 apabila mereka berjumpa semula dengan rakan-rakan mereka yang sekian lama terpisah atau terputus hubungan selepas menamatkan pengajian di USM hampir 40 tahun yang lalu.

Majlis perjumpaan semula ini beserta jamuan makan tengah hari yang diadakan di sebuah hotel di sini, tercetus daripada ilham dan inisiatif T. Balasubramaniam (Sains Kemasyarakatan ‘75) dan beberapa rakan karibnya.

Balasubramaniam yang lebih dikenali sebagai Bala sebenarnya pernah menganjurkan perjumpaan seumpama ini buat pertama kalinya pada bulan Februari 2013 di Petaling Jaya juga, yang dihadiri oleh 60 alumni USM yang berijazah dalam dekad 1970-an.

Menurut Bala, saya amat gembira kerana segala persiapan yang dimulakan sejak tiga minggu lalu telah membuahkan hasil apabila dapat mempertemukan kembali bekas siswa-siswi USM, dan melihat mereka yang hadir begitu asyik berbual mesra sambil menyorot kembali kisah-kisah lama, bak kata orang putih, ‘down memory lane’.

“Saya juga berterima kasih kepada USM terutamanya Pejabat Pemajuan dan Perhubungan Alumni USM yang telah sekali lagi menyokong dan membantu saya menjayakan penganjuran majlis perjumpaan kali ini, dan saya berharap dapat bekerjasama lagi untuk penganjuran majlis seperti ini pada masa-masa yang akan datang,” kata Bala.

150314-1

Turut hadir ialah Tokoh Alumni USM 2002, tokoh korporat dan juga Pro Canselor USM, Tan Sri Mustafa Mansur (Sains Kemasyarakatan ’76) yang menyifatkan pertemuan ini memberi peluang untuk beliau bersua muka di samping merapatkan kembali hubungan yang renggang serta mengimbau kenangan ketika bergelar pelajar USM setelah hampir 40 tahun berpisah.

“Banyak lagi kenangan manis yang masih segar dalam ingatan saya, dan saya gembira kerana dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan seperjuangan saya dahulu terutamanya mereka yang aktif bersama dalam acara sukan – kriket, ragbi dan hoki,” kata Mustafa.

Bersama dengan seorang lagi Alumni USM yang hadir, Dato’ Sofian Ahmad (Sains Kemasyarakatan ‘74), Mustafa juga berharap selepas perjumpaan ini, Alumni USM Kuala Lumpur dan Selangor akan memantapkan lagi keahlian dan struktur pentadbirannya, sekaligus memikirkan bagaimana mereka boleh kembali bersama menabur jasa kepada alma mater dan masyarakat umum.

Antara alumni USM tahun ’75 yang turut hadir dalam perjumpaan selama hampir dua jam setengah itu ialah Dato’ Ahmad Ibrahim, Dato’ Martini Osman, Mahendran, Rajan Moses dan isteri Pearl Moses, Dato’ Ooi Say Chuan, Lee Kee Teck, Datin Noorhayati Khalid, Ghazali Kassim dan Terence Selvakumar. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Nor Rafizah Md. Zain

 

  • Created on .
  • Hits: 1067

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024