USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANTU BANGUNKAN PERAK AMANJAYA

15-03-14

IPOH, 19 MAC 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia berkongsi kepakaran di dalam bidang penyelidikan untuk pembangunan Perak Amanjaya dengan termeterainya penandatanganan Surat Hasrat dengan Institut Darul Ridzuan (IDR) kelmarin.

Universiti Sains Malaysia (USM) adalah antara IPTA yang akan bekerjasama dengan Institut Darul Ridzuan bagi membantu Kerajaan Negeri Perak membangunkan sumber sosio ekonomi dan perancangan infrastruktur di Perak Amanjaya.

Menurut Pemangku Naib Canselor, Profesor Dr. Muhammad Jantan, hal ini membolehkan kedua-dua pihak bersama-sama memastikan pembangunan Perak Amanjaya berada di landasan yang tepat.

“USM sentiasa bersedia berkongsi kepakaran yang ada bagi membantu IDR terutama di bidang akademik dan penyelidikan, seterusnya memberi panduan untuk IDR merancang dan merencana segenap aspek pembangunan yang dikehendaki di Perak Amanjaya,” jelas Muhammad.

Turut hadir menyaksikan penandatanganan ini adalah Y.B. Shahrul Zaman Yahya, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Perak, yang mewakili Menteri Besar Perak dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr. Mazalan Kamis.

Tambah beliau lagi, kerjasama di antara USM dan IDR akan meningkatkan lagi hubungan baik di antara USM dan IDR selama ini seterusnya memberikan impak yang tinggi di dalam Penyelidikan sosio ekonomi Perak Amanjaya.

“Kita akan mengenalpasti penyelidikan yang diperlukan oleh IDR dan menyokong kolaborasi ini untuk bidang-bidang yang berkaitan bergantung kepada kehendak IDR,”kata Muhammad.

Sementara itu, Dr. Mazalan Kamis berkata beliau amat terharu dan gembira dengan sumbangan USM dan beberapa buah IPTA lain dalam membantu memberikan sumbangan dan buah fikiran dalam Pembangunan Perak Amanjaya.

“Saya amat berterima kasih kepada USM dan beberapa buah IPTA lain dalam menjalankan penyelidikan serta memberi banyak tumpuan kepada negeri Perak dan melalui seminar ini juga,  sebanyak 146 kertas penyelidikan dibentangkan yang merupakan tanda positif untuk memperolehi maklumat dan penyelesaian sebagai langkah menambahbaik nilai Perak Amanjaya di masa akan datang,”katanya lagi.

Jelasnya lagi, pihak IDR  akan berusaha meneruskan hubungan dengan USM ke peringkat yang lebih bermakna sekaligus bersama-sama membangunkan Perak Amanjaya.

Institut Darul Ridzuan adalah institusi pemikir yang diilhamkan  oleh Menteri Besar Perak, Y.A.B. Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir bertujuan untuk membangunkan Perak Amanjaya sebagai sebuah bandar maju dan sumber sosio ekonomi serta berupaya memberikan sumbangan kepada pembangunan negara seluruhnya. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1039

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024