GSB MENDAPAT AKREDITASI ABEST21
PULAU PINANG, 19 Mac 2014 - Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) telah mendapat akreditasi “The Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow, a 21st Century organization” (ABEST21) untuk ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan.
Menurut Dekannya, Dr. Sofri Yahya, ABEST21 sebuah pertubuhan sukarela yang ditubuhkan pada 1 Julai 2005 diiktiraf sebagai agensi akreditasi bisnes untuk pengajian bisnes Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) Jepun pada 12 Oktober 2007.
“Akreditasi ini akan memastikan ijazah yang diterima dari USM diiktiraf sebagai cemerlang dalam amalan pendidikan lestari dan pengajaran antara disiplin,” kata Sofri.
Untuk mendapat akreditasi ini, institusi yang menawarkan program bisnes perlu melalui penilaian yang teliti kerana ABEST21 memerlukan pendekatan pengajian yang proaktif untuk membuat aktiviti penambahbaikan dan pembangunan melalui proses pendidikan dan penyelidikan secara berterusan serta melalui penilaian kendiri dan analisis melalui review serakanan.
“Bagi pihak GSB saya merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat menyokong usaha ini termasuk dalam kalangan pengurusan tertinggi universiti,” tambah Sofri.
Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman turut merakamkan tahniah kepada GSB dan semua yang terlibat.
“Saya berbangga dengan usaha ini dan percaya ia bukan dicapai dengan mudah, tetapi hasil kerja berpasukan dan berterusan sehingga mendapat pengiktirafan ini,” kata Omar.
Maklumat lanjut terdapat di http://abest21.org/.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1057